
GUA MUSANG, 14 Mei – seorang lelaki ditemukan maut dipercayai diserang dan dipijak sekumpulan gajah liar yang mengamuk di tepi sungai berhampiran ladang getah di Jalan Ladang Serasa di sini hari ini.
- Mangsa Razali Daud, 55, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
- Polis menerima laporan pada pukul 11.38 pagi; pasukan Balai Polis Paloh 2 digerakkan ke lokasi.
- Kesan tapak kaki dan najis gajah ditemui, menguatkan kemungkinan mangsa diserang gajah liar.
- Tiada unsur jenayah; mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Isteri sedih juadah tidak sempat dimakan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata mangsa, Razali Daud, 55 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, pihak polis menerima laporan mengenai penemuan mayat mangsa pada pukul 11.38 pagi dan pasukan daripada Balai Polis Paloh 2 digerakkan ke tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan tapak kaki dan najis gajah di sekitar lokasi yang menguatkan kemungkinan mangsa diserang haiwan liar itu.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah terlibat dalam insiden berkenaan dan mayat dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, isteri mangsa terkilan apabila arwah suaminya tidak sempat menjamah juadah hasil air tangannya sebelum keluar ke ladang tersebut yang terletak kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.
Ropiah Sari berkata, dia menyediakan juadah tapai dan kuih pau yang merupakan makanan kegemaran arwah suaminya.
Beliau mendapat maklumat mengenai suaminya dijumpai maut dipijak gajak berhampiran sungai berkenaan daripada jirannya kira-kira pukul 10 pagi.
“Biasanya dia pergi jalan-jalan tepi sungai seorang diri. Dia dah biasa. Selalunya dia mandi sungai dulu baru balik. Saya telefon tak dapat, nasi pun tak sempat makan. Orang bagitahu pagi tadi mengenai kejadian. Nasi dan tapai tak sempat makan,”katanya.