
SERI ISKANDAR, 14 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan beberapa langkah penguatkuasaan berkaitan isu vape, terutama berhubung penyalahgunaan dadah jenis ‘fentanyl’ atau dadah ‘zombi’ menerusi penggunaan vape dalam masa terdekat.
- Isu vape sistem terbuka seperti botol, pod dan kartrij mendapat perhatian berterusan KKM dan agensi penguatkuasa.
- Kebimbangan tentang pengubahsuaian atau pencampuran vape dengan bahan tertentu termasuk dadah sintetik.
- Situasi memerlukan tindakan tegas dan bersepadu kerana menimbulkan risiko kesihatan awam.
- KKM menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti aspek perundangan dan kesan kesihatan penggunaan vape.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, isu vape terutama yang melibatkan sistem terbuka seperti penggunaan botol, pod dan kartrij telah lama diberi perhatian oleh KKM bersama agensi penguat kuasa berkaitan.
Menurut beliau, terdapat kebimbangan berhubung penyalahgunaan peranti elektronik berkenaan apabila ia diubah suai atau dicampur dengan bahan tertentu, termasuk dadah sintetik.
Situasi ini memerlukan tindakan lebih tegas dan bersepadu kerana melibatkan risiko kesihatan awam.
“Ini adalah perkara yang sangat diberi perhatian. Sehubungan itu dalam masa terdekat KKM akan membuat pengumuman tertentu tentang langkah-langkah yang akan diambil.
“Sangat penting untuk KKM bekerjasama dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri), PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan Kastam,” katanya.
Sebelum ini, KKM telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi meneliti isu penggunaan vape daripada sudut perundangan serta kesan kesihatan.
Langkah diambil susulan pendedahan berhubung aktiviti penjualan bahan terlarang termasuk dadah jenis ‘Furanyl Fentanyl’ yang dipercayai disalahgunakan dalam peranti vape di pasaran.