
MEKAH, 14 Mei – Dua lagi jemaah haji Malaysia disahkan meninggal dunia di Tanah Suci, menjadikan lima kematian dilaporkan pada musim haji kali ini.
- Kedua-dua jemaah daripada kumpulan KT12 yang menginap di Hotel Al Kiswah, Mekah, menurut kenyataan Lembaga Tabung Haji.
- Seorang wanita 72 tahun dari Sitiawan, Perak, disahkan meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz akibat pendarahan otak.
- Seorang lelaki 67 tahun dari Kuantan, Pahang, meninggal dunia di Pusat Perubatan Mekah akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
- Kedua-dua jenazah disolatkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea; Lembaga Tabung Haji merakamkan takziah.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua jemaah berkenaan daripada kumpulan KT12 yang menginap di Hotel Al Kiswah, Mekah.
Seorang daripadanya ialah wanita berusia 72 tahun dari Sitiawan, Perak, yang menunaikan rukun Islam kelima tersebut bersama-sama sepupunya.
“Allahyarham disahkan meninggal dunia di Hospital King Abdul Aziz pada Isnin (12 Mei), kira-kira pukul 12.36 tengah hari akibat pendarahan otak,” menurut kenyataan itu.
Seorang lagi jemaah lelaki berusia 67 tahun berasal dari Kuantan, Pahang, yang ke Tanah Suci bersama dengan isterinya, disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Mekah pada Rabu kira-kira pukul 10 malam akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Kedua-dua jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan sebaik sahaja urusan dokumentasi selesai dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea, Mekah.
“TH turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta mendoakan agar roh kedua-duanya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.