Jho Low tidak seharusnya diberikan pengampunan

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ditemui media selepas Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 di Kuala Lumpur, hari ini/ RTM

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak seharusnya diberikan pengampunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fahmi setuju dengan Johari bahawa Jho Low perlu dibawa pulang untuk diadili di mahkamah.
  • Kabinet belum membincangkan permohonan pengampunan Jho Low kerana berita itu disiarkan semasa mesyuarat Jemaah Menteri.
  • Media melaporkan Jho Low memohon pengampunan Presiden AS; jika diluluskan, pertuduhan AS akan gugur, status permohonan kini pending.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menegaskan pendiriannya senada dengan Pengerusi Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa Jho Low perlu dibawa pulang untuk
diadili di Mahkamah.

“Saya senada dengan Menteri MITI bahawa Jho Low tidak patut dimaafkan dan tidak patut diberi sebarang pertimbangan memaafkan kerana dosa dan musibah yang dia telah bawa kepada negara kita ini terlalu besar,” katanya kepada media selepas  Majlis Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sambutan Hari Guru Lembah Pantai 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, kabinet belum membincangkan cubaan Jho Low untuk mendapatkan pengampunan daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) memandangkan berita itu disiarkan ketika mesyuarat Jemaah Menteri sedang berlangsung, semalam.

Media antarabangsa melaporkan bahawa Jho Low, yang dituduh oleh AS sebagai dalang antara penipuan kewangan terbesar dalam sejarah, didakwa telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump beberapa minggu lepas.

Menurut laporan itu, sekiranya permohonan berkenaan diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah AS terhadap Jho Low.

Laporan itu turut menyebut laman sesawang Jabatan Kehakiman AS menyenaraikan status permohonan yang dibuat atas nama Taek Jho Low dan difailkan tahun ini sebagai pending (belum selesai) bagi Pardon after Completion of Sentence (pengampunan selepas selesai menjalani hukuman).

Ahli perniagaan itu sebelum ini berdepan dengan pertuduhan menyeleweng kira-kira USD4.5 bilion (RM17.7 bilion) dana 1MDB pada 2018, namun hingga kini, beliau masih bebas dan menjadi buruan pihak berkuasa.