Kontroversi ‘Tok Undang’: Setiausaha Akhbar MB Negeri Sembilan mohon maaf

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 15 Jun – Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah tampil memohon maaf susulan kontroversi penggunaan gelaran “Tok Undang” yang dikaitkan dengan Yang Berhormat Anthony Loke dalam satu majlis baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengakui kekhilafan kerana gelaran mempunyai nilai tinggi dalam Adat Perpatih dan melibatkan sensitiviti Institusi Undang.
  • Memohon maaf kepada Ke Bawah Kaus/Yang Amat Mulia Datuk-Datuk Undang Yang Empat atas tindakan berseloroh memetik gelaran 'Tok Undang'.
  • Permohonan maaf diharapkan dapat meredakan keadaan dan menjernihkan kekeliruan serta salah faham.
  • Menegaskan Kerajaan Negeri dan Pakatan Harapan komited mempertahankan kemuliaan Institusi Undang serta menyeru semua pihak berhati-hati menjaga adat.

Dalam kenyataan hari ini, beliau menegaskan kekhilafan itu dipandang serius memandangkan gelaran berkenaan mempunyai nilai tinggi dalam struktur Adat Perpatih serta melibatkan sensitiviti Institusi Undang Negeri Sembilan.

Menurutnya, sebagai anak jati negeri yang menjunjung adat dan budaya, beliau amat menghormati Institusi Undang yang menjadi teras identiti serta kedaulatan Negeri Sembilan.

“Saya memohon maaf kepada Ke Bawah Kaus Yang Teramat Mulia/Yang Amat Mulia Datuk-Datuk Undang Yang Empat atas tindakan saya yang berseloroh dengan Yang Berhormat Anthony Loke dengan memetik gelaran ‘Tok Undang’ yang tular di media sosial,” katanya.

Permohonan maaf itu dibuat susulan insiden ketika Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan, apabila beliau merujuk Anthony Loke sebagai “Undang Yang Ke-5”, yang kemudiannya mencetuskan reaksi dalam kalangan masyarakat.

Ahmad Shahir berharap permohonan maaf tersebut dapat meredakan keadaan serta menjernihkan salah faham yang timbul.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Kerajaan Negeri dan Pakatan Harapan kekal komited mempertahankan kemuliaan Institusi Undang sebagai warisan berharga negeri.

Beliau turut menyeru semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menjaga adab serta sensitiviti berkaitan institusi adat demi memastikan keharmonian dan penghormatan terhadap tradisi negeri terus terpelihara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.