HBP Perak rekod 262 aduan, tertinggi sejak diperkenal

Program Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri Ke-4 di Stadium Indera Mulia, Ipoh/ Foto FB Datuk Seri Saarani Mohamada

IPOH, 15 Jun – Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri Ke-4 anjuran Kerajaan Negeri Perak mencatat rekod baharu apabila menerima 262 aduan daripada orang ramai, jumlah tertinggi sejak inisiatif itu diperkenalkan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peningkatan jumlah aduan itu membuktikan keyakinan rakyat terhadap program berkenaan sebagai platform berkesan untuk menyuarakan masalah serta mendapatkan penyelesaian secara terus daripada agensi kerajaan.

Beliau berkata sehingga penganjuran siri ketiga sebelum ini, sebanyak 600 aduan telah direkodkan dengan 498 daripadanya atau 83 peratus berjaya diselesaikan, manakala baki 102 aduan masih dalam tindakan susulan oleh jabatan berkaitan.

“Pada hari ini sebanyak 262 aduan telah diterima dan ia merupakan yang tertinggi setakat penganjuran program Hari Bertemu Pelanggan sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap program ini sebagai platform yang berkesan untuk menyuarakan permasalahan”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Siri Keempat Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia, Ipoh.

Penganjuran kali ini melibatkan penyertaan 100 kaunter khidmat pelanggan serta 10 kaunter bergerak, selain pelbagai aktiviti sampingan termasuk reruai pameran, jualan murah dan Jualan Rahmah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.