Kes Irene: CCTV tidak meliputi lokasi kejadian

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengesahkan terdapat pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor yang menjadi lokasi kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.

RINGKASAN BERITA AI
  • CCTV sedia ada tidak dipasang di lokasi kejadian; KPM akan menambah baik dan menggantikan unit rosak.
  • KPM arahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap pengurusan keselamatan, kawalan keluar masuk, rondaan, SOP dan fungsi syarikat kawalan keselamatan.
  • Fadhlina nafikan dakwaan tular; KPM minta berhati hati berkongsi maklumat dan beri kerjasama penuh kepada PDRM.

Bagaimanapun, CCTV itu tidak dipasang di lokasi kejadian kes tersebut.

Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil tindakan segera termasuk menambah baik sistem CCTV sedia ada termasuk penggantian unit yang telah rosak.

“Ramai yang meminta KPM memasang lebih banyak CCTV di sekolah, seolah-olah kemudahan ini belum pernah dilaksanakan.

“Sepertimana yang telah dinyatakan sebentar tadi, dalam Fasa 3, CCTV akan terus diperluaskan pada tahun hadapan. Saya mahu tegaskan, kita akan menambah baik CCTV,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Media di Parlimen.

Datuk Seri Fadhlina turut menjelaskan, KPM juga telah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek pengurusan dan keselamatan di sekolah berkenaan.

Ini termasuk kawalan keluar masuk, rondaan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), fungsi CCTV serta pelaksanaan tugas syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian.

Sekiranya berlaku pelanggaran kontrak atau kecuaian oleh syarikat kawalan keselamatan, tindakan sewajarnya boleh diambil termasuk notis ketidakpatuhan, tindakan kewangan dan penamatan kontrak.

Sementara itu, Datuk Seri Fadhlina menafikan dakwaan pelajar Tingkatan Empat yang meninggal itu diheret dari surau ke tempat kejadian, seperti yang tular di media sosial.

Beliau turut menafikan dakwaan terdapat cermin yang pecah di surau, yang dikaitkan dengan kejadian itu.

“Saya meminta semua pihak berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu. Kita sedang bercakap tentang seorang anak yang telah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa orang murid bawah umur yang sedang melalui siasatan,” katanya.

Justeru, kementeriannya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kejadian tersebut dan memberikan apa sahaja maklumat yang diperlukan oleh pihak polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.