
KOTA KUALA MUDA, 5 Oktober – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan RM5 juta sejak 2023 bagi melaksanakan Projek Integrasi Pembangunan Kawasan Terpilih (PIKAT), dengan tumpuan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat luar bandar.
- PIKAT dilaksanakan menerusi pendekatan bersepadu termasuk pembangunan ekonomi, fizikal serta peningkatan kemahiran dan modal insan.
- Komponen pembangunan ekonomi menerima peruntukan terbesar RM2.9 juta untuk sokong perniagaan, pertanian, penternakan dan pelancongan.
- Peruntukan RM760,000 bagi pembangunan fizikal termasuk pembinaan dan naik taraf premis untuk tingkatkan produktiviti penduduk.
- Sebanyak RM1.34 juta disalurkan untuk pembangunan kemahiran dan modal insan melalui program, bengkel serta kursus pendidikan dan kemahiran.
Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata PIKAT dilaksanakan menerusi pendekatan bersepadu yang merangkumi pembangunan ekonomi, fizikal serta kemahiran dan modal insan.
Katanya, komponen pembangunan ekonomi menerima peruntukan terbesar sebanyak RM2.9 juta bagi membantu aktiviti perniagaan, peruncitan, pertanian, penternakan dan pelancongan membabitkan individu, institusi serta organisasi di kawasan terpilih.
“Yang kita tengok ialah peningkatan pendapatan usahawan. Kalau dulu pendapatan dia mungkin RM3,000 sebulan, sekarang dah jadi RM6,000, itu menunjukkan ada peningkatan.
“Kalau sebulan dia mencapai RM10,000, setahun sudah RM120,000. Yang penting ialah berapa sebenarnya yang masuk ke poket mereka kerana itu menunjukkan penambahan pendapatan dalam keluarga.”
Selain pembangunan ekonomi, RM760,000 diperuntukkan sejak 2024 bagi pembangunan fizikal, termasuk pembinaan dan menaik taraf premis bagi meningkatkan produktiviti penduduk.
Sebanyak RM1.34 juta lagi disalurkan bagi pembangunan kemahiran dan modal insan menerusi program, bengkel serta kursus dalam aspek pendidikan, kemahiran dan pembangunan minda.
Dalam perkembangan berkaitan, KEDA turut memperuntukkan RM100,000 bagi membangunkan Bengkel Industri Kecil dan Sederhana (IKS) produk hasil laut di Desa KEDA Tepi Sungai.
Projek yang diuruskan Koperasi Desa KEDA Tepi Sungai Berhad itu memberi tumpuan kepada penghasilan produk berasaskan ikan seperti bebola ikan dan kek ikan untuk dipasarkan kepada kedai runcit, restoran, gerai makanan, pasar malam serta pemborong makanan sejuk beku.
Projek itu menyasarkan jualan minimum RM60,000 pada tahun pertama selain mendapatkan pensijilan Halal dan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dalam tempoh 12 bulan.
Pemilihan lokasi berkenaan dibuat berdasarkan akses kepada sumber ikan tempatan, tenaga kerja komuniti, kos operasi yang lebih rendah serta potensi pasaran di kawasan sekitar.