Kongres Nasional Wanita Keadilan cadang Dasar Pendidikan Wajib

JOHOR BAHRU, 23 Mei – Dasar Pendidikan Wajib sehingga peringkat sekolah menengah dicadang untuk pelaksanaan bagi memastikan semua pelajar kekal dalam sistem pendidikan sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia, SPM.

Perkara itu antara yang ditekankan Ketua Wanita Keadilan, Fadhlina Sidek dalam sesi penggulungan Kongres Nasional Wanita Keadilan Ke-18 di Johor Bahru, hari ini.

Fadhlina berkata, dasar ini penting bagi menangani isu keciciran pelajar yang semakin membimbangkan, terutama di kawasan seperti Pasir Gudang dan Johor Bahru.

Jelasnya, pelaksanaan dasar ini memerlukan penglibatan menyeluruh komuniti setempat agar tiada pelajar tercicir.

Dalam masa sama, beliau turut menekankan keperluan memahami kesan perubahan iklim terhadap wanita, terutama dari segi kesihatan dan sosioekonomi.

Katanya, golongan wanita muda antara yang paling terkesan, dan isu ini perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat dan pembuat dasar.

Fadhlina turut menyuarakan harapan agar pasukan baharu Wanita PKR dapat menghayati konsep keadilan, memperkukuh struktur dan ideologi parti, serta melaksanakan program yang lebih inklusif.