
SHAH ALAM, 22 September – Ekosistem penggajian Orang Kurang Upaya (OKU) perlu beralih daripada sekadar menyediakan pekerjaan kepada usaha membangunkan bakat, kompetensi dan laluan kerjaya golongan berkenaan.
- Pekerja OKU bukan sahaja memperoleh pendapatan tetapi membina keyakinan diri dan kemandirian dalam pekerjaan.
- Kejayaan pekerja OKU menjadi inspirasi kepada golongan OKU dan keluarga untuk melihat potensi yang boleh dicapai.
- Inisiatif seperti Program Able for Disable dan kursus Job Coach AEON memberi latihan dan sokongan praktikal.
- Kerajaan perlu mempercepat pelaksanaan sasaran pengambilan sekurang-kurangnya 1% OKU; polisi masih belum capai sasaran.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pendekatan itu penting bagi memastikan pekerja OKU bukan sahaja memperoleh pendapatan, malah mampu membina keyakinan diri dan kemandirian dalam pekerjaan.
Menurutnya, kejayaan pekerja OKU juga boleh menjadi inspirasi kepada golongan berkenaan serta keluarga mereka untuk melihat potensi dan peluang yang boleh dicapai.
“Kita perlu beralih daripada sekadar menggajikan OKU kepada usaha membangunkan bakat dan kejayaan mereka, sekali gus menjadi inspirasi kepada golongan OKU lain serta keluarga mereka untuk melihat kejayaan itu sebagai panduan dalam kehidupan,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Program Able for Disable dan Penyampaian Sijil Kursus Pengenalan Job Coach AEON 2026 di Shah Alam, Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan mahu mempercepat usaha mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu peratus pengambilan OKU dalam perkhidmatan awam.
Datuk Seri Nancy berkata pelaksanaan dasar berkenaan masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan.
Setakat ini, hanya tujuh kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mencapai sasaran satu peratus pengambilan OKU.