
TANGKAK, 23 Jun – Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bakal menjadi pemangkin utama dalam memacu kedudukan Johor sebagai hab pelaburan dan perdagangan serantau.
- Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan MADANI dan Kerajaan Negeri Johor mempercepat pelaksanaan projek untuk limpahan ekonomi kepada rakyat.
- Inisiatif menunjukkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi Malaysia dan tarikan sektor berteknologi tinggi serta pusat data bernilai besar.
- Kejayaan bergantung pada komitmen Putrajaya, kerjasama dengan Singapura serta penambahbaikan CIQ dan sistem kod QR untuk selesaikan kesesakan dan ciptakan peluang pekerjaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu kini dipercepatkan menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan MADANI dan Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan limpahan ekonominya dapat dinikmati rakyat.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan juga mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan ekonomi Malaysia, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi dan pembangunan pusat data bernilai berbilion ringgit di Johor.
“Ini bukan kerana Johor mintak, ini kerana perlu dan Johor sekarang menjadi negeri yang penting pemangkin pertumbuhan ekonomi. Siapa yang cadangkan Johor-Singapore Economic Zone?Kita.
“Siapa yang runding dengan Singapura untuk siapa? Untuk Johor, ” ujarnya pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan bagi PRN Johor Ke-16, di Bukit Gambir disini.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menjelaskan, kejayaan projek tersebut bergantung kepada komitmen Putrajaya dan kerjasama erat dengan Singapura, di samping pelaksanaan langkah sokongan seperti pengenalan sistem kod QR di pintu sempadan dan penambahbaikan fasiliti Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).
Langkah berterusan itu, kata beliau, diyakini mampu menyelesaikan isu kesesakan logistik jangka panjang di Tambak Johor sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat setempat menerusi peluang pekerjaan baharu.