Kerjasama ASEAN-Rusia penting hadapi cabaran global

Presiden Rusia, Vladimir Putin menyambut Datuk Seri Anwar Ibrahim pada upacara sambutan Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN di Kazan, Rusia pada 17 Jun lepas/AFP

KUALA LUMPUR, 18 Jun- Kerjasama strategik antara ASEAN dan Rusia dilihat mampu membuka peluang baharu dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin tidak menentu termasuk tekanan geopolitik dan perubahan landskap perdagangan dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hubungan baik antara Perdana Menteri Anwar dan Presiden Putin memperkukuh kerjasama ASEAN-Rusia dalam pelbagai sektor termasuk tenaga dan teknologi tinggi.
  • Kepengerusian Malaysia membuka ruang kepada rantau meneroka pasaran baharu dan mempelbagaikan rakan dagang.
  • ASEAN perlu memperluas kerjasama dalam keselamatan makanan, tenaga, pembuatan termaju, teknologi digital dan pendidikan untuk mengukuh daya tahan ekonomi.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berkata pendekatan Malaysia sejak tahun lalu menerusi kepengerusian ASEAN telah membuka ruang kepada rantau itu untuk meneroka pasaran baharu.

Beliau berkata hubungan baik antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia, Vladimir Putin turut memberi peluang kepada ASEAN memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor.

“Hubungan baik ini telah membuka pasaran baharu serta era baharu dalam hubungan ASEAN dengan Rusia, bukan sahaja berkaitan bekalan tenaga tetapi juga teknologi tinggi yang Rusia mempunyai kepakaran,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Menurut beliau, usaha memperluas kerjasama itu penting ketika dunia berdepan tekanan ekonomi susulan dasar tarif Amerika Syarikat serta ketegangan geopolitik yang memberi kesan kepada rantaian bekalan global.

Katanya, kerjasama berkenaan bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia, malah ASEAN secara keseluruhan dalam mempelbagaikan rakan dagang dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.

Pada Selasa, Datuk Seri Anwar menegaskan ASEAN dan Rusia perlu memperluas kerjasama dalam bidang keselamatan makanan, tenaga, pembuatan termaju, teknologi digital serta pendidikan bagi memperkukuh daya tahan ekonomi serantau.

Langkah itu, menurut Perdana Menteri, penting dalam usaha ASEAN menghadapi ketidaktentuan global serta membina kerjasama yang lebih mampan.

Perdana Menteri berada di Kazan untuk lawatan kerja dua hari ke ibu negara dan bandar terbesar di Tatarstan, Rusia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun ini.

Lawatan berkenaan diadakan atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.