
PHILADELPHIA, 19 JUN – Pemain pertahanan Brazil, Gabriel Magalhaes menggesa skuadnya untuk melupakan kekecewaan selepas sekadar seri 1-1 dengan Maghribi pada perlawanan pertama kumpulan C Ahad lalu.
- Brazil menang semua pertemuan sebelum ini menentang Haiti, termasuk kemenangan 7-1 pada Copa America 2016.
- Magalhaes menegaskan Haiti bukan lawan mudah; tiada pasukan lemah di Piala Dunia dan Brazil mesti elak kesilapan.
- Ketua jurulatih Carlo Ancelotti sahkan beberapa pemain utama akan direhatkan dan dia yakin Brazil kekal kompetitif.
Tonggak Arsenal itu berharap Brazil dapat fokus untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan kedua menentang Haiti pagi esok.
“Kami sedar bahawa kami tidak beraksi dengan baik pada perlawanan pertama. tetapi kami memberi jaminan bahawa semua pemain akan memberi komitmen sepenuhnya esok.
“Seri ketika menentang Maghribi bukan keputusan yang kami mahukan, tetapi ia sudah berlaku dan kami perlu bergerak ke hadapan serta belajar daripada kesilapan,” katanya.
Sebagai rekod, Brazil yang turun dengan status juara sebanyak lima kali memenangi semua tiga perlawanan ketika berdepan Haiti sebelum ini, termasuk pernah membelasah skuad bimbingan Sebastien Migne berkenaan 7-1 pada kempen Copa Amerika 2016.
“Walaupun Brazil memenangi semua perlawanan, tetapi Haiti bukan lawan yang mudah dikalahkan. Tidak ada pasukannya yang lemah di Piala Dunia. Kami tidak boleh buat kesilapan,” tambah Magalhaes.
Sementara itu, ketua jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti mengesahkan, beberapa pemain utama akan direhatkan pada Sabtu.
“Kami akan lakukan perubahan pada pemain. Mungkin akan ada pemain yang perlu direhatkan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
“Walaupun kami tidak bermula dengan baik, saya tetap yakin Brazil merupakan antara pasukan yang kompetitif di pentas Piala Dunia. – AFP