
PUTRAJAYA, 8 September – Sokongan guru yang tinggi menjadi antara kekuatan utama murid Malaysia berdasarkan dapatan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025.
- Guru mendidik sambil membimbing dan membina keyakinan murid menghadapi cabaran pembelajaran.
- Murid tunjuk daya juang tinggi, sedia minta bantuan dan terus mencuba ketika berdepan kesukaran.
- Rasa ingin tahu, ketabahan dan kebolehan belajar kendiri terserlah, termasuk kemahiran penyelesaian masalah komputasional.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, dapatan itu membuktikan peranan guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah penting dalam membimbing serta membina keyakinan murid ketika berdepan cabaran pembelajaran.
Menurutnya, murid Malaysia turut menunjukkan daya juang yang tinggi, termasuk kesediaan mendapatkan bantuan apabila diperlukan serta keupayaan untuk terus mencuba ketika berdepan kesukaran.
“Ini menunjukkan guru-guru Malaysia telah mendidik dan membimbing anak-anak kita dengan jiwa, ehsan dan kasih sayang. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua guru kerana guru adalah nadi pendidikan negara,” katanya di Sidang Media Pengumuman Program for International Student Assessment (PISA) di sini, hari ini.
Dapatan PISA 2025 turut menunjukkan murid Malaysia mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, cekal dan semakin berupaya mengurus pembelajaran secara kendiri.
“Kekuatan itu turut terserlah menerusi keupayaan penyelesaian masalah komputasional apabila Malaysia merekodkan 484 mata, sekali gus menjadi antara enam negara yang mencapai prestasi melebihi jangkaan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadhlina menegaskan pendidikan tidak boleh hanya berorientasikan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu membentuk murid yang mampu berfikir, membuat pertimbangan serta mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru di seluruh negara yang terus menjadi nadi sistem pendidikan dan memainkan peranan penting dalam membina harapan serta keyakinan dalam diri murid.