
KUALA LUMPUR, 8 September – Sarawak dipilih sebagai tuan rumah sulung peringkat negeri bagi penganjuran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2026 yang akan berlangsung di di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 1 dan 2 Disember ini.
- HPTN sasar meningkatkan kesedaran profesion teknikal, terutama kalangan muda, melalui penyertaan pelajar sekolah, universiti dan orang awam.
- Bertemakan "Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian", acara mengetengahkan AI dan daya cipta untuk tingkatkan keupayaan, produktiviti dan daya saing negara.
- Program merangkumi persidangan, seminar, pameran dan aktiviti interaktif, menghimpunkan agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan rakan industri.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pemilihan Sarawak sebagai lokasi edisi ketiga HPTN itu membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan bidang teknikal kepada masyarakat di negeri berkenaan serta wilayah Borneo.
Beliau berkata penganjuran berkenaan turut menyasarkan penyertaan golongan muda bagi meningkatkan kesedaran mengenai peluang kerjaya dalam profesion teknikal.
“Kita ingin memberikan kesedaran profesion teknikal ini kepada seberapa ramai rakyat. Mereka yang profesional dan teknikal dari segi kerjayanya akan lebih gajinya, dapat gaji tinggi, ada masa depan yang lebih dan kita ingin membuka ruang itu kepada negeri di sebelah Borneo iaitu Sarawak untuk kali ini,
“Mungkin selepas ini kita akan buat di Sabah pada ketika yang lain. Jadi kita harap penyertaan terutama kehadiran pelajar-pelajar sekolah menengah, pelajar universiti, orang biasa”, katanya demikian pada Majlis Prapelancaran HPTN 2026 di Kompleks Kerja Raya, disini, hari ini.
HPTN merupakan sambutan tahunan anjuran Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bagi mengiktiraf dan memartabatkan profesion teknikal sebagai pemangkin pembangunan infrastruktur, pemodenan serta kemajuan negara.
Bertemakan “Profesion Teknikal Pemacu Kelestarian”, HPTN 2026 akan mengetengahkan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan daya cipta sebagai peluang meningkatkan keupayaan, produktiviti serta daya saing negara secara mampan.
Katanya, penggunaan AI kini semakin penting dalam sektor teknikal termasuk bidang pembinaan jalan raya dan bangunan yang menjadi antara tanggungjawab utama KKR.
Beliau berkata penggunaan AI kini semakin penting dalam sektor teknikal, termasuk bidang pembinaan jalan raya dan bangunan yang menjadi antara tanggungjawab utama KKR.
Menurut beliau, HPTN 2026 turut menjadi platform untuk menyemai minat generasi muda terhadap bidang teknikal sebagai pilihan kerjaya menerusi aktiviti interaktif, pameran ilmiah dan peluang kerjaya.
Program itu turut menampilkan persidangan, seminar teknikal, sesi perkongsian ilmu serta pameran dan aktiviti interaktif yang menghimpunkan pakar daripada agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan rakan industri.
Pengisian HPTN 2026 meliputi perkembangan terkini dalam bidang pembinaan, kejuruteraan, sains, seni bina, teknologi dan inovasi, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mengenali profesion teknikal dengan lebih dekat.