
KUALA LUMPUR, 8 September – Sekurang-kurangnya 80 peratus graduan daripada institusi pendidikan yang mempunyai mandat Bumiputera disasar memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan dan kemahiran mereka.
- Ukuran kejayaan pendidikan mesti mengutamakan mobiliti sosial dan outcome, bukan semata-mata bilangan graduan; TVET sebagai instrumen mobiliti ekonomi.
- Institusi pendidikan dan industri mesti bekerjasama menghasilkan graduan dengan sekurang-kurangnya satu kompetensi industri diiktiraf bagi kesepadanan pekerjaan dan peningkatan pendapatan.
- Kerajaan mahu peralihan kepada bidang strategik seperti AI, semikonduktor, teknologi perubatan dan tenaga hijau, serta indeks mobiliti pendidikan berasaskan data.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran itu perlu diberi perhatian susulan kira-kira 35.2 peratus pekerja berpendidikan tinggi ketika ini masih berada dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan tahap kemahiran mereka.
Menurut beliau, ukuran kejayaan pendidikan tidak seharusnya terhenti pada jumlah graduan yang dilahirkan, sebaliknya perlu mengambil kira sejauh mana pendidikan membawa kepada mobiliti sosial dan peningkatan ekonomi.
“Graduasi ialah output, mobiliti ialah outcome. Dalam konteks ini, TVET ialah instrumen penting mobiliti ekonomi,” katanya ketika berucap pada sesi penutup Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada 2025 mencapai purata 95.9 peratus di peringkat nasional, sekali gus menunjukkan potensi bidang itu sebagai laluan mobiliti ekonomi.
“Cabaran seterusnya adalah memastikan nilai TVET tidak hanya diukur berdasarkan kadar kemasukan, tetapi turut mengambil kira kesepadanan pekerjaan, peningkatan pendapatan dan laluan kerjaya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu lebih ramai anak bangsa berkembang daripada peringkat juruteknik kepada tahap lebih tinggi, termasuk pakar teknikal, teknologis, usahawan teknologi dan seterusnya pemimpin industri.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan menyasarkan lebih 60 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti laluan TVET menjelang 2030.
Pada masa sama, beliau berkata sektor swasta bersetuju dengan sasaran gaji permulaan RM3,500 sebulan bagi lulusan TVET sebagai sebahagian usaha meningkatkan nilai serta daya tarikan bidang berkenaan.
Menurut beliau, pendidikan Melayu juga perlu beralih daripada sekadar memperluas akses kepada usaha meningkatkan kualiti pembelajaran dan mobiliti.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Indeks Mobiliti Pendidikan Melayu diwujudkan bagi menjejaki perjalanan pendidikan seseorang, bermula daripada latar belakang sosioekonomi, pencapaian pembelajaran dan laluan pengajian sehingga kepada pekerjaan, kesepadanan kemahiran serta perkembangan pendapatan.
“Langkah itu penting bagi memastikan agenda pendidikan selepas ini dibina berasaskan data, hasil dan bukti, bukannya hanya bergantung kepada jumlah program, peruntukan atau penyertaan,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan institusi pendidikan dan industri bergerak sebagai rakan pembentuk bakat bagi memastikan setiap graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi sekurang-kurangnya satu kompetensi industri yang diiktiraf.
Dalam usaha meningkatkan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, Ahmad Zahid mahu institusi seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan institusi TVET Bumiputera memperluas penglibatan dalam bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi perubatan, tenaga hijau dan teknologi termaju.
Katanya, matlamat akhirnya adalah mengubah kedudukan anak bangsa daripada sekadar pengguna teknologi kepada pembangun penyelesaian, pemilik teknologi dan pemegang harta intelek.
Beliau berkata menjelang 2035, kejayaan pendidikan Melayu perlu diukur bukan hanya berdasarkan jumlah graduan yang dilahirkan, tetapi sejauh mana mereka mampu memimpin bidang strategik, menghasilkan ilmu, membangunkan teknologi dan mencipta nilai kepada negara.