
KUALA LUMPUR, 8 September – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) meneruskan operasi hari keempat di daerah Rasuwa, Nepal hari ini dengan menubuhkan pangkalan hadapan taktikal di Dhunche serta melaksanakan cerapan udara menggunakan dron di kawasan terjejas.
- 10 anggota SMART diketuai Inspektor Abdullah Ahmad Sobri berlepas dari Trishuli dengan helikopter MI-17 untuk menyertai operasi.
- Kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor; dua pasukan gabungan SMART dan Angkatan Tentera Nepal ditugaskan liputan imej udara menyeluruh.
- Cuaca hujan hampir setiap hari menjadi cabaran utama bagi penerbangan udara; pasukan kaji kaedah pengumpulan data foto udara optimum.
Menurut Seksyen Penyelarasan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 10 anggota SMART yang diketuai Inspektor Abdullah Ahmad Sobri berlepas dari Markas Taktikal Tentera Nepal di Trishuli menggunakan helikopter MI-17 sebelum selamat tiba di Dhunche pada 1.45 tengah hari waktu Malaysia.
Dhunche dipilih sebagai pangkalan hadapan bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat di beberapa lokasi terjejas termasuk Timure, Syafrubesi, Dhunche dan Mailung.
Lokasi itu turut berfungsi sebagai pusat persediaan serta penginapan sementara anggota SMART sekiranya operasi berlanjutan.
Operasi itu memberi fokus kepada cerapan udara menggunakan dron di kawasan antara Syafrubesi dan Timure, yang dijadualkan berlangsung selama dua hari.
Bagi melancarkan operasi, kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor utama, manakala dua pasukan gabungan SMART dan Angkatan Tentera Nepal ditugaskan untuk mendapatkan liputan imej udara secara menyeluruh.
NADMA memaklumkan, keadaan cuaca hujan hampir setiap hari terus menjadi cabaran utama terhadap penerbangan dron di kawasan operasi.
Bagaimanapun, pasukan SMART sedang meneliti kaedah terbaik bagi memastikan pengumpulan data foto udara dapat dilaksanakan secara optimum bagi menyokong perancangan dan pelaksanaan operasi seterusnya.