
SERDANG, 8 September– Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh hala tuju lima tahun akan datang menerusi Pelan Strategik UPM 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada empat domain strategik berimpak tinggi.
- Empat domain strategik: Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kesihatan Planet dan Kelestarian; Universiti Diiktiraf Dunia; Kesejahteraan Warga dan Jiwa Putra.
- Pelan menekankan pemanfaatan ilmu, kepakaran dan sumber UPM untuk solusi berimpak kepada keterjaminan makanan, perubahan iklim dan kelestarian.
- Menegaskan pengembalian kepada asas agrobisnes serta penggunaan agroteknologi, kejuruteraan genetik dan pertanian tepat untuk tingkatkan pengeluaran.
- Aspirasi diiktiraf dunia dibina atas kekuatan akademik, kredibiliti penyelidikan dan impak kemanusiaan; pelan digerakkan melalui pemacu dan pemboleh daya institusi.
Pelan Strategik UPM 2026-2030 menggariskan empat domain strategik iaitu Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kesihatan Planet dan Kelestarian; Universiti Diiktiraf Dunia; serta Kesejahteraan Warga dan Jiwa Putra.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pelan berkenaan memberi penekanan kepada usaha memanfaatkan kekuatan ilmu, kepakaran dan sumber UPM bagi menghasilkan penyelesaian yang memberi impak kepada negara, khususnya dalam menghadapi cabaran keterjaminan makanan, perubahan iklim dan kelestarian.
“Antara yang menarik ialah kita mahu mengembalikan semula UPM kepada asasnya yang berteraskan agrobisnes.
“Saya yakin, dengan pengalaman yang besar dalam bidang keterjaminan makanan, UPM mampu melakukan sesuatu yang lebih besar.Begitu juga dalam bidang-bidang baharu seperti kesihatan planet dan kelestarian”, katanya demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis peluncuran Pelan Strategik UPM 2026-2030 di UPM di sini hari ini.
Menurutnya, UPM perlu memanfaatkan kepakaran dalam agroteknologi, kejuruteraan genetik dan pertanian tepat bagi meningkatkan pengeluaran domestik serta membantu mengurangkan kos sara hidup.
Beliau berkata aspirasi UPM untuk diiktiraf di peringkat dunia perlu dibina atas kekuatan akademik, kredibiliti penyelidikan serta impak terhadap permasalahan kemanusiaan dan bukan semata-mata berdasarkan kedudukan penarafan antarabangsa.
Pelan itu akan digerakkan menerusi lima pemacu transformasi dan enam pemboleh daya institusi, selain menjadi landasan penting UPM menuju sambutan ulang tahun ke-100 penubuhannya pada 2031.