Ismael Kone patah kaki diterjah pemain Qatar

Kone terpaksa diusung keluar selepas mengalami kecederaan patah kaki. Foto/AFP

VANCOUVER, 19 JUNPemain tengah Kanada, Ismael Kone dikejarkan ke hospital kerana disyaki mengalami kecederaan patah kaki selepas menerima terjahan kasar ketika beraksi menentang Qatar awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jurulatih Jesse Marsch berkata kecederaan Kone nampak teruk dan bunyi semasa terjahan seperti tulang patah.
  • Kone sudah berada di hospital dan dijangka akan menjalani pembedahan.
  • Beliau diusung keluar pada minit ke-51 selepas diterjah pemain Qatar, Assim Madibo.
  • Assim Madibo dilayangkan kad merah kerana kekasaran itu.

Perkembangan itu dimaklumkan jurulatih Kanada, Jesse Marsch dalam sidang media selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Kanada membelasah Qatar 6-0.

“Kecederaannya nampak teruk. Semasa diterjah, semua orang boleh dengar bunyi seperti tulang patah.

“Saya belum bercakap dengan Kone lagi, tetapi dia sudah berada di hospital dan dijangka akan menjalani pembedahan.

“Satu pasukan kini bimbang dengan situasi Kone kerana kecederaan yang dialami bukan kecederaan biasa. Malah dia juga adalah tonggak utama pasukan Kanada,” katanya.

Dalam aksi menentang Qatar, pemain tengah Sassuolo itu terpaksa diusung keluar pada minit ke-51 selepas diterjah pemain tengah, Assim Madibo.

Kekasaran yang dilakukan Madibo turut menyebabkan dia dilayangkan kad merah. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.