
WASHINGTON, 9 September – Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sebuah dron bawah air miliknya mengalami kerosakan, selepas Iran mendakwa pasukannya merampas kapal selam tanpa pemandu AS di Selat Hormuz.
- CENTCOM kata dron rosak semasa tinjauan serantau, menyokong operasi berjalan; kejadian berlaku lebih sehari lalu.
- AS tidak mengesahkan sama ada Iran merampasnya; IRGC mendakwa rampasan di pintu masuk Selat Hormuz melalui operasi risikan dan ketenteraan kompleks.
- Dron itu model lama, tidak mengumpul data sensitif dan tidak membawa peralatan sonar atau radar sulit.
Jurucakap Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), Kapten Tim Hawkins memaklumkan, dron bawah air yang dikendalikan tentera AS mengalami kerosakan lebih sehari lalu ketika menjalankan tinjauan di perairan serantau bagi menyokong operasi yang sedang berlangsung.
Bagaimanapun, beliau tidak mengesahkan sama ada dron berkenaan dirampas Iran.
Menurut Hawkins, dron yang rosak itu merupakan model lama dan tidak mengumpul data sensitif atau membawa peralatan sonar dan radar sulit.
Sebelum itu, Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mendakwa merampas dron AS di pintu masuk Selat Hormuz menerusi operasi risikan dan ketenteraan yang kompleks.
Iran menyifatkan dron berkenaan sebagai antara kapal selam tanpa pemandu berteknologi tinggi yang dikendalikan tentera AS.
Tehran masih mengekalkan sekatan di Selat Hormuz sejak perang tercetus pada akhir Februari, manakala AS turut mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.
Selat strategik itu biasanya menjadi laluan kira-kira satu perlima eksport minyak dan gas asli cecair dunia. -AFP