
NEW YORK, 9 September – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa peningkatan dana serta akses lebih luas kepada bekalan penting bagi mengelak krisis kemanusiaan yang lebih buruk di Gaza menjelang musim sejuk.
- Sekatan, ketidakselamatan dan kekurangan dana menjejaskan usaha penghantaran bantuan.
- WHO telah bantu lebih 9,000 orang, hampir separuh kanak-kanak, menerusi perkhidmatan pemulihan di Khan Yunis dan Gaza City.
- Kira-kira 43,000 penduduk memerlukan pemulihan jangka panjang; akses kepada rawatan khusus dan ubat-ubatan sangat terhad.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, gesaan dibuat oleh Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB, Tom Fletcher pada hujung minggu, susulan sekatan, keadaan tidak selamat dan kekurangan dana yang menjejaskan usaha penghantaran bantuan.
Menurut Dujarric, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membantu lebih 9,000 orang, hampir separuh daripadanya kanak-kanak, menerusi perkhidmatan pemulihan yang diperluas di hospital di Khan Yunis dan Gaza City.
Hospital Pemulihan Hamad di Gaza City, satu-satunya kemudahan yang menyediakan perkhidmatan prostetik dan pemulihan lanjutan di Gaza menerima katil, peralatan serta bantuan lain.
Hospital Al-Amal di Khan Yunis pula menerima 40 katil, peralatan gimnasium, perabot dan sebuah generator.
Dujarric memaklumkan, kira-kira 43,000 penduduk memerlukan perkhidmatan pemulihan jangka panjang, namun akses kepada rawatan khusus masih amat terhad.
Beliau turut menggesa agar akses kepada ubat-ubatan penting dan bekalan kemanusiaan lain ke Gaza dipercepat serta tidak dihalang. -REUTERS