AS musnahkan lima kapal tangki minyak Iran

Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS George Washington berlayar di lautan – Foto AFP

WASHINGTON, 9 September – Tentera Amerika Syarikat (AS) memusnahkan lima kapal pengangkut minyak Iran pada Selasa selepas Tehran melancarkan peluru berpandu ke arah kapal perang AS, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • CENTCOM: serangan kedua terhadap kapal tangki Iran dalam kurang seminggu sebagai tindak balas kepada serangan terhadap kapal tentera AS.
  • Anak kapal diarahkan meninggalkan kapal sebelum serangan supaya kapal tidak lagi dapat beroperasi.
  • IRGC mensasarkan kapal perang AS dengan peluru berpandu balistik dua kali, tetapi kapal itu berjaya mengelak dan meneruskan rondaan.
  • Iran mengancam menyerang pangkalan AS dan menargetkan kapal tangki berhampiran Kuwait serta Bahrain; IRGC arah kapal di pelabuhan segera tinggalkan kawasan.

Menurut Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), ia merupakan serangan kedua dilancarkan Washington menyasarkan kapal tangki Iran dalam masa kurang seminggu sebagai respons terhadap serangan ke atas kapal tentera AS.

“Anak-anak kapal berkenaan diarahkan meninggalkan kapal sebelum ia diserang sehingga tidak lagi dapat beroperasi, ” menurut CENTCOM dalam satu kenyataan.

Serangan terhadap kapal tangki itu berlaku selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyasarkan sebuah kapal perang tentera laut AS dengan peluru berpandu balistik sebanyak dua kali dalam tempoh dua hari.

“Bagaimanapun, kapal perang berkenaan berjaya mengelak kedua-dua serangan Iran dan meneruskan rondaan di perairan serantau, ” tambah kenyataan itu.

Pada Sabtu, tentera AS memusnahkan tiga kapal tangki minyak mentah Iran pada Sabtu selepas Tehran cuba menyerang sebuah kapal pengangkut pesawat dan kapal pemusnah berpandu AS.

Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Ali Abdollahi, pada Selasa memberi amaran Tehran akan menyerang pangkalan AS di rantau itu sekiranya kapal tangki minyak Iran diserang.

Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, Washington akan meneruskan serangan terhadap kapal tangki Iran sebagai tindak balas terhadap serangan Tehran.

Menurutnya, setiap kali Iran cuba menyerang kapal perang AS, Washington akan bertindak balas dengan memusnahkan kapal tangki minyak Iran.

Iran pula memberi amaran akan menyasarkan kapal tangki minyak berhampiran negara sekutu AS iaitu Kuwait dan Bahrain, sebagai tindak balas terhadap serangan AS pada Selasa.

Dalam kenyataan IRGC yang disiarkan agensi berita rasmi Iran, IRNA, semua kapal tangki minyak di pelabuhan Kuwait dan Bahrain, sama ada berlabuh atau bersauh, diberi amaran supaya meninggalkan kawasan berkenaan kerana akan menjadi sasaran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.