
WASHINGTON, 9 September – Konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Kanada semakin meningkat selepas Washington mengenakan larangan import terhadap beberapa produk termasuk minuman beralkohol, selain menaikkan tarif ke atas barangan lain.
- Perintah eksekutif kenakan surcaj 50% terhadap produk Kanada seperti tilam, motobot dan kereta golf mulai 15 September.
- Larangan import minuman beralkohol dan beberapa produk tenusu seperti dadih mula berkuat kuasa 29 September.
- Ottawa membalas dengan mengenakan tarif baharu terhadap barangan AS sebagai respons kepada duti Washington.
- Trump arah keluarkan produk Kanada dari program perolehan GSA bernilai lebih AS$50 bilion; peguam kata langkah boleh meluaskan skop barangan terjejas.
Menerusi perintah eksekutif Presiden Donald Trump, pelbagai produk Kanada termasuk tilam, motobot dan kereta golf akan dikenakan surcaj 50 peratus mulai 15 September.
“Larangan import yang menyasarkan pelbagai jenis minuman beralkohol serta beberapa produk tenusu seperti dadih susu pula akan berkuat kuasa mulai 29 September, ” menurut perintah eksekutif lain yang dikeluarkan pada masa sama.
Salah satu perintah yang dikeluarkan turut memperincikan bahawa beberapa produk dari Kanada tidak lagi tertakluk kepada tarif 50 peratus yang mula berkuat kuasa baru-baru ini susulan kegagalan rundingan perdagangan dua hala bulan lalu.
Bagaimanapun, senarai produk yang dikecualikan itu jauh lebih pendek, antaranya kertas tandas.
“Presiden Trump mengambil langkah berkenaan bagi memastikan persaingan perdagangan yang adil, menghalang tindakan balas serta melindungi pengeluaran dalam negara, ” kata seorang pegawai kanan pentadbiran AS.
Tindakan balas itu dibuat ketika Ottawamengenakan tarif baharu terhadap produk AS sebagai respons terhadap duti yang diumumkan Washington pada 22 Ogos lalu.
Beliau berkata, Kanada sebelum ini telah diberi amaran bahawa langkah yang diambilnya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.
Berhubung larangan import minuman beralkohol dari Kanada, Trump memberi alasan bahawa tindakan itu susulan boikot diskriminasi oleh kerajaan wilayah Kanada terhadap minuman beralkohol keluaran AS.
Sejak pelaksanaan tarif Trump dilaksanakan secara intensif pada tahun lepas, Kanada turut melancarkan boikot besar-besaran terhadap produk AS yang menyaksikan wain dan minuman keras keluaran AS telah dikeluarkan daripada rak jualan di kebanyakan wilayah Kanada yang mempunyai monopoli terhadap penjualan minuman berkenaan.
Pada Selasa, Trump turut mengancam untuk mengecualikan produk Kanada daripada program perolehan kerajaan AS melainkan Kanada memulihkan prinsip timbal balik yang penuh dan adil untuk petani serta syarikat AS.
Dalam hantaran di media sosial, Trump memaklumkan beliau telah mengarahkan pegawai kerajaan supaya mengeluarkan produk berasal dari Kanada daripada Multiple Award Schedules milik Pentadbiran Perkhidmatan Am (GSA), iaitu program kontrak jangka panjang kerajaan.
Trump berkata, program berkenaan melibatkan kontrak bernilai lebih AS$50 bilion setahun.
Peguam perdagangan AS, Ryan Majerus, berkata langkah itu berpotensi meluaskan skop barangan yang terjejas, termasuk produk yang tidak dikenakan tarif. – AFP