
JAKARTA, 9 September – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia meneruskan operasi pencarian bagi mengesan sebuat bot laju yang membawa lapan orang, termasuk lima wartawan yang ditugaskan membuat liputan mengenai letusan gunung berapi Anak Krakatau.
- Kawasan pencarian diperluas dengan penglibatan puluhan anggota polis, tentera, nelayan dan sukarelawan.
- Basarnas mengoptimumkan penggunaan semua anggota, kemudahan dan peralatan tersedia dalam operasi pencarian.
- Operasi disokong kapal mencari dan menyelamat berkelajuan tinggi, bot angin serta dron termal.
- Bot terputus hubungan dengan pemilik tidak lama selepas bertolak; seorang wartawan kongsi lokasi pada pukul 3 petang Isnin.
Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), kawasan percarian pada Rabu diperluas dengan penglibatan berpuluh-puluh anggota penyelamat termasuk polis, tentera, nelayan dan sukarelawan.
“Pasukan mencari dan menyelamat akan meneruskan operasi pencarian dengan mengoptimumkan penggunaan semua anggota, kemudahan dan peralatan yang tersedia.
“Operasi turut dibantu kapal mencari dan menyelamat berkelajuan tinggi, bot angin serta dron termal,” menurut kenyataan Basarnas.
Pada Isnin lepas, sekumpulan individu termasuk lima wartawan terbabit menaiki bot laju dari barat Jakarta, namun kru bot terputus hubungan dengan pemilik bot tidak lama selepas bertolak.
Kesemua wartawan Indonesia itu dalam misi merakam foto dan video letusan Gunung Anak Krakatau.
Mereka turut disertai dua kru bot dan seorang pemandu.
Kelima-lima wartawan itu bekerja dengan organisasi media tempatan dan antarabangsa, termasuk agensi berita nasional Antara, agensi berita milik kerajaan Turkiye, Anadolu serta portal tempatan, iNews.
Menurut Basarnas, salah seorang wartawan berkenaan menghubungi rakan sekerjanya dan berkongsi lokasi pada pukul 3 petang waktu tempatan Isnin, namun tiada berita diterima daripada sejak itu. – AFP