
KUALA LUMPUR, 8 September – Ilmuwan Islam perlu memahami perkembangan teknologi dan perubahan semasa bagi memastikan penyampaian ilmu agama kekal relevan dalam mendepani pengaruh kecerdasan buatan (AI), algoritma dan media sosial, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Ilmuwan mesti menguasai teknologi sambil mempertahankan asas ilmu agar ajaran kekal relevan.
- Kenali perubahan medan ilmu; dari mimbar ke platform digital yang kini menentukan penyebaran ilmu.
- Bantu masyarakat menilai kebenaran, susun keutamaan bijaksana dan bezakan maklumat benar dengan mengelirukan.
- Gunakan teknologi dan media sosial untuk memperkukuh kefahaman agama serta menghimpun kekuatan umat demi maslahat.
Beliau berkata perkembangan teknologi telah mengubah landskap penyampaian ilmu agama apabila persoalan berkaitan agama kini bukan lagi hanya dibincangkan di mimbar atau majlis ilmu, sebaliknya turut dipengaruhi kandungan yang disampaikan menerusi media sosial dan aplikasi AI.
“Medannya sudah berubah. Dahulu orang cari guru. Hari ini, algoritma mencari mereka terlebih dahulu. Ia turut dibentuk oleh ChatGPT, TikTok serta banyak lagi ruang media sosial dan aplikasi AI,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia 2.0, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO, berkata perkembangan berkenaan membuka akses lebih luas kepada ilmu dan pendidikan apabila teknologi membolehkan maklumat disampaikan kepada sesiapa sahaja dalam sekelip mata.
Bagaimanapun, katanya, keterbukaan itu turut membawa cabaran apabila masyarakat, khususnya generasi muda, terdedah kepada sumber maklumat yang kesahihannya belum tentu terjamin..
Sehubungan itu, beliau berkata ilmuwan Islam tidak boleh hanya menguasai ilmu dan kitab, sebaliknya perlu mampu “membaca zaman” dengan memahami teknologi serta realiti semasa tanpa mengabaikan asas ilmu agama.
“Kukuh pada turath tetapi memahami teknologi. Teguh pada nas, tetapi mengerti realiti. Jelas pada hukum tetapi tidak kehilangan hikmah dalam membimbing masyarakat,” katanya.
Tambahnya, peranan ilmuwan dalam era digital juga perlu melangkaui tugas menjawab persoalan yang timbul, sebaliknya membantu masyarakat memahami perubahan, menyusun keutamaan dengan bijaksana serta membezakan antara maklumat yang benar dan mengelirukan.
Menurut beliau, peranan ilmuwan dalam era digital juga perlu melangkaui tugas menjawab persoalan agama, sebaliknya membantu masyarakat memahami perubahan, menyusun keutamaan dengan bijaksana serta membezakan antara maklumat yang benar dan mengelirukan.
Katanya, ilmuwan turut bertanggungjawab menunjukkan arah kebenaran dan menghimpunkan kekuatan umat dalam perkara yang membawa maslahat kepada masyarakat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata penguasaan teknologi dalam kalangan ilmuwan penting supaya AI dan media sosial bukan sekadar menjadi saluran penyebaran maklumat, tetapi dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh kefahaman agama serta membimbing masyarakat menghadapi perubahan zaman.