Lebih 16,000 koperasi bakal diteroka ke arah patuh syariah

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 8 September – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi meneroka kerjasama ke arah mewujudkan lebih banyak koperasi patuh syariah di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Meneroka kerjasama untuk meluaskan pematuhan syariah kepada lebih 16,000 koperasi berdaftar.
  • Memastikan pembiayaan, simpanan, pelaburan dan pembahagian keuntungan berlandaskan prinsip syariah.
  • Inisiatif turut menggalakkan koperasi menunaikan kewajipan zakat perniagaan.
  • Pada majlis, 15 koperasi menyerahkan zakat perniagaan RM7.986 juta; Bank Kerjasama Rakyat bayar tertinggi RM3 juta; PPZ-MAIWP terima RM114 juta sehingga Ogos.

Menterinya, Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha itu berpotensi diperluas kepada lebih 16,000 koperasi berdaftar yang berminat memastikan aktiviti pembiayaan, simpanan, pelaburan dan pembahagian keuntungan dilaksanakan berlandaskan prinsip syariah.

Beliau berkata, kerjasama berkenaan bukan sahaja dapat memperbanyakkan entiti koperasi patuh syariah, malah menggalakkan koperasi menunaikan kewajipan zakat perniagaan.

“Antara perkara yang berpotensi untuk diterokai ialah kerjasama dengan lebih 16,000 koperasi di seluruh negara bagi melihat bagaimana koperasi-koperasi ini dapat menjadi entiti yang patuh syariah.

“Kita akan meneroka perkara ini bersama-sama dan bekerjasama untuk memperbanyakkan lagi koperasi yang patuh syariah, selain pada masa sama memastikan kewajipan menunaikan zakat dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Zakat Koperasi anjuran Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di Putrajaya.

Pada majlis itu, sebanyak 15 koperasi menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM7.986 juta.

Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad menjadi pembayar zakat perniagaan tertinggi dengan jumlah RM3 juta.

Sementara itu, sehingga Ogos tahun ini, PPZ-MAIWP menerima RM114 juta bayaran zakat perniagaan daripada pelbagai sektor termasuk koperasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.