Piala FA: JDT belasah UM-Damansara 10-0, mara ke suku akhir menerusi agregat 14-1

Foto FB Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan penguasaan mutlak apabila membelasah UM-Damansara United 10-0 pada aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • JDT menguasai perlawanan sejak awal; Eddy Israfilov membuka jaringan pada minit kelima.
  • Beberapa pemain JDT mencetak gol berganda termasuk Stoichkov, Stuart Wilkin, Muhammad Daniesh, Eddy Israfilov dan Shahab.
  • Christian Abad hampir tidak diuji kerana lawan hanya menghasilkan satu percubaan tepat pada babak pertama; Hidalgo dilayangkan kad kuning.

Kemenangan besar di laman sendiri itu menyaksikan skuad Harimau Selatan melangkah ke kelompok lapan terbaik dengan agregat 14-1 selepas membawa bekalan selesa 4-1 daripada perlawanan pertama minggu lepas.

JDT hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan apabila Eddy Israfilov menanduk masuk hantaran silang Manuel Hidalgo.

Tuan rumah terus mengasak dan menggandakan kelebihan pada minit ke-22 menerusi Juan Diego Molina Martinez atau Stoichkov, yang tenang menyempurnakan peluang untuk menewaskan penjaga gol UM-Damansara United, Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri.

Stuart Wilkin kemudian menambah derita pelawat dengan gol ketiga pada minit ke-32, sekali gus membolehkan JDT membawa kelebihan 3-0 menuju rehat.

Sepanjang babak pertama, benteng JDT yang dikawal penjaga gol Christian Abad hampir tidak terusik apabila pelawat hanya menghasilkan satu percubaan tepat yang mudah ditangkapnya.

Bersambung babak kedua, JDT tidak mengendurkan tekanan apabila Stoichkov hanya memerlukan tiga minit untuk mencetak gol kedua peribadinya menerusi sepakan dari dalam kotak penalti selepas memanfaatkan peluang terhidang.

Muhammad Daniesh Amirruddin meneruskan pesta gol Harimau Selatan dengan jaringan kelima pada minit ke-56 selepas rembatan rendahnya menerjah penjuru kiri gawang lawan.

Aksi sedikit tegang pada minit ke-63 apabila Hidalgo dilayangkan kad kuning selepas melakukan kekasaran terhadap pemain lawan.

JDT terus rakus memburu jaringan dengan Wilkin mencetak gol keduanya pada minit ke-75 selepas menyudahkan hantaran tumit Ignacio Mendez, sebelum Shahab Zaheditabar melepaskan rembatan kencang ke penjuru kanan gawang dua minit kemudian.

Israfilov pula mencuri tumpuan pada minit ke-80 apabila rembatan deras dari luar kotak penalti menerjah gawang, menyebabkan Muhammad Azfar Arif sekadar mampu terpaku melihat bola menerjah jaring.

Muhammad Daniesh turut melengkapkan jaringan keduanya pada minit ke-86 selepas menanduk masuk hantaran lintang Hidalgo, sebelum Shahab menutup pesta gol JDT dengan tandukan pada masa kecederaan untuk memuktamadkan kemenangan 10-0.

Sementara itu, Kuching City FC turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menewaskan Kelantan Red Warrior (KRW) 5-1 pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini.

Selepas terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, 1 Sept lepas, Kuching City memulakan pesta gol menerusi jaringan Dylan Wenzel-Halls seawal minit ke-10 sebelum gerakan lincah Safawi Rasid membuahkan gol kedua pada minit ke-29.

Bersambung babak kedua, Ronald Ngah terus menambah derita KRW apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-53 dan ke-71 untuk meletakkan Kuching City selesa di hadapan.

KRW cuba bangkit menerusi gol saguhati Mazwan Che Mat pada minit ke-67, namun Kaishu Yamazaki melengkapkan malam gemilang Kuching City dengan gol kelima pada minit ke-80.

Di Stadium Syed Putra, Kangar, Star City FC pula mencipta sejarah apabila mengesahkan tempat ke suku akhir buat pertama kali selepas menewaskan Kedah FA 2-0, sekali gus mara dengan keputusan agregat 4-2.

Skuad kendalian Mehmet Durakovic membuka tirai jaringan menerusi Pedro Henrique pada minit ke-15 sebelum Douglas Oliveira menokhtahkan kemenangan dengan tandukan pada minit ke-57. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.