Taufiq yakin sasaran enam emas Sukan Asia mampu dicapai

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 September – Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menyambut baik sasaran enam pingat emas yang ditetapkan kontinjen negara pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Yakin sasaran pingat mampu dicapai dan mungkin melebihi berdasarkan persiapan serta kemampuan atlet.
  • Penetapan sasaran dibuat hasil perbincangan panjang antara CDM, persatuan sukan dan atlet.
  • Pesanan agar atlet utamakan kesihatan, pemakanan dan persiapan mental, terutamanya semasa musim jerebu.

Beliau yakin sasaran berkenaan mampu dicapai berdasarkan persiapan dan kemampuan atlet negara, malah tidak menolak kemungkinan kontinjen Malaysia melepasi sasaran tersebut.

Katanya, penetapan sasaran itu dibuat selepas melalui perbincangan panjang antara Ketua Kontinjen Sukan Asia 2026 (CDM), persatuan sukan serta atlet.

“Saya yakin untuk kali ini kita menetapkan sasaran pingat berdasarkan warna dan kita yakin bahawa kita mampu untuk mencapai sasaran tersebut. Harapan kita bukan mencapai sahaja, tetapi mencapai dan juga melebihi daripada sasaran jika ada rezeki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Lembaga Gabenor (BoG) Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) malam ini.

Dr Taufiq turut menyifatkan pencapaian kontinjen negara pada temasya terdahulu sebagai bukti atlet Malaysia berupaya memberikan prestasi melebihi sasaran yang ditetapkan.

Katanya, kepercayaan turut diberikan kepada CDM bersama seluruh pasukan bagi memastikan persiapan atlet berada pada tahap terbaik sebelum beraksi di Aichi-Nagoya.

Sementara itu, beliau mengingatkan atlet supaya memberi perhatian terhadap aspek kesihatan, pemakanan dan persiapan mental, khususnya dalam keadaan cuaca berjerebu ketika ini.

“Kesihatan adalah keutamaan dan sekarang ini musim jerebu. Walaupun ada latihan dan sebagainya, kesihatan perlu dijaga. Yang paling penting juga jaga kebersamaan dan juga persiapan mental,” katanya.

Terdahulu, CDM Malaysia ke Sukan Asia, Datuk Mohd Sumali Reduan mengumumkan sasaran enam pingat emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada temasya kali ini, menyamai jumlah emas yang diraih pada edisi 2022 di Hangzhou, China.

Seramai 352 atlet dan 185 pegawai telah diluluskan penyertaan dalam 30 daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan.

Kontinjen Malaysia dijadual mengambil bahagian dalam 156 acara, merangkumi 79 acara lelaki, 58 acara wanita dan 19 acara campuran.

Daripada keseluruhan atlet terbabit, 15 merupakan peserta Program Road to Gold (RTG), 158 di bawah Program Podium, 14 Program Pelapis dan 165 lagi di bawah program persatuan.

Bagi Sukan Para Asia pula, CDM Sukan Para Asia, Tan Chee Keong menyasarkan enam emas, 10 perak dan 18 gangsa pada temasya berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.