
VANCOUVER, 19 JUN – Tuan rumah bersama Piala Dunia 2026, Kanada membelasah Qatar 6-0 untuk menungguli carta kumpulan B dengan empat mata.
- Jonathan David mencetak hatrik, pemain Kanada pertama raih hatrik di laman sendiri dalam sejarah Piala Dunia.
- Qatar menerima dua kad merah; Homam Ahmed dan Assim Madibo diusir, tinggal sembilan pemain dan membuka laluan gol Kanada.
- Cyle Larin buka jaringan awal, Nathan Saliba skor melalui sepakan percuma dan Mohamed Manai hasilkan gol sendiri.
Dalam saingan yang berlangsung di Stadium BC Place itu, penyerang, Jonathan David muncul wira dengan menjaringkan tiga gol, sekali gus mencatatkan sejarah sebagai pemain Kanada pertama menjaringkan hatrik di laman sendiri di pentas Piala Dunia.
Terdahulu, skuad The Canucks mula mendominasi perlawanan sebaik menjaringkan gol pembukaan menerusi percubaan penyerang, Cyle Larin seawal minit ke-16.
Kelekaan pertahanan Qatar kemudiannya membuka ruang kepada David untuk meledakkan gol kedua buat Kanada pada minit ke-29.
Qatar terus ditimpa nasib malang selepas bek kiri, Homam Ahmed dilayangkan kad merah pada minit ke-33 selepas melakukan terjahan keras.
Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya Kanada untuk melancarkan serangan bertali arus dengan David sekali lagi menjaringkan gol kedua peribadinya pada waktu kecederaan babak pertama.
Pada babak kedua perlawanan, Qatar terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas tonggak tengah, Assim Madibo pula dilayangkan kad merah kerana melakukan terjahan keras terhadap pemain tengah, Ismael Kone.
Menjelang minit ke-64, pemain gantian Nathan Saliba melebarkan jurang selepas meledak gol menerusi sepakan percuma sejurus masuk menggantikan Kone.
Qatar terus ditekan apabila pemain tengah, Mohamed Manai tertampan bola ke gawang sendiri untuk gol kelima Kanada sebelum David melengkapkan hatriknya pada masa kecederaan menerusi rembatan kaki kiri.