
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180 akan ditutup mulai esok.
- Sekolah ditutup jika IPU melebihi 150 secara berterusan tiga hari berturut-turut.
- Pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dari rumah, mengambil kira kemampuan, akses dan kesiapsiagaan murid serta guru.
- JPN, PPD dan institusi perlu memantau bacaan IPU; KPM akan dapatkan nasihat KKM bagi keselamatan dan kebajikan.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, langkah itu bagi melindungi murid dan warga pendidikan daripada terdedah kepada keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat, 9 Oktober 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut, institusi pendidikan terlibat hendaklah ditutup mulai Isnin, 12 Oktober.
Sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR).
“Dalam tempoh pelaksanaan ini, pihak sekolah hendaklah memastikan kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran murid melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru,” katanya.
Guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.
Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan di bawah KPM perlu melakukan pemantauan secara berterusan serta mengambil tindakan sewajarnya apabila bacaan IPU melebihi paras ditetapkan.
“KPM akan terus memantau perkembangan dari masa ke semasa dan sentiasa mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terpelihara sebagaimana titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.