
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Sebanyak 38 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat setakat 3 petang ini susulan cuaca kering berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN dan pergerakan jerebu rentas sempadan.
- ASMC mengesan 210 titik panas di Sumatera, 94 di Kalimantan dan satu di Pahang, punca utama jerebu rentas sempadan.
- Jerebu sederhana hingga tebal diperhatikan di selatan dan tengah Sumatera, Singapura serta beberapa kawasan di Kalimantan dan Semenanjung.
- Segamat, Seremban, Nilai, Kluang dan lain-lain merekodkan bacaan IPU paling tinggi, menunjukkan risiko kesihatan setempat.
- Langkah pengurusan termasuk hentikan aktiviti luar sekolah jika IPU>100; NADMA dan OPA diaktifkan; larangan pembakaran terbuka dengan denda berat.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengesan 210 titik panas di Sumatera dan 94 di Kalimantan, Indonesia, manakala satu dikesan di Pahang.
“Jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di bahagian selatan dan tengah Sumatera, Singapura, serta bahagian selatan Semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan di Kalimantan,” menurut JAS dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan rekod JAS setakat 3 petang tadi, Segamat di Johor mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi iaitu 190, diikuti Seremban dan Nilai di Negeri Sembilan, masing-masing dengan bacaan 186 dan 185.
Kluang, Johor pula merekodkan bacaan 181, manakala Rompin, Pahang dan Johan Setia, Selangor masing-masing mencatat 178.
Selain itu, tiada kawasan di seluruh negara merekodkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala 30 kawasan lagi berada pada tahap sederhana.
JAS turut menjelaskan perbezaan bacaan IPU pada platform antarabangsa atau penyedia pihak ketiga berpunca daripada penggunaan skala, kaedah pengiraan, nilai ambang dan sumber data yang berbeza.
Menurutnya, sesetengah platform menggunakan data satelit atau sensor kos rendah yang hanya mengukur ketumpatan partikel di atmosfera dan bukan kualiti udara sebenar pada paras bumi.
“Orang ramai diminta merujuk Air Pollutant Index Management System (APIMS) atau aplikasi MyJAS EQMS sebagai sumber rasmi kerajaan untuk mendapatkan status IPU harian dan nasihat kesihatan yang tepat,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, tindakan pengurusan jerebu dilaksanakan secara bersepadu mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), termasuk menghentikan aktiviti luar bilik darjah di sekolah sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Selain itu, pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan sekiranya IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.