Guru mengaku tidak bersalah lima pertuduhan seksual, libat tiga pelajar

Foto Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan

KOTA BHARU, 8 Oktober – Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap tiga pelajar lelaki berusia 17 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuduhan melibatkan kejadian di hotel Kota Bharu dan rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada Jun 2025, April dan 17 September 2026.
  • Dakwaan lain pada pertengahan Ogos 2026 dan pada 26 Ogos 2026 kira-kira jam 6 petang di rumah yang sama.
  • Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM23,000 dengan syarat alamat, larangan mengganggu mangsa dan saksi, serta lapor diri setiap dua bulan.

Mohd. Shafie Mohamad, 47 tahun, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun lapan bulan ketika kejadian.

Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah hotel di Kota Bharu dan sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada Jun 2025, April dan 17 September 2026.

Bagi pertuduhan keempat, Mohd. Shafie didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun enam bulan di sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada pertengahan Ogos 2026.

Bagi pertuduhan kelima pula, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun lima bulan di rumah sama kira-kira jam 6 petang pada 26 Ogos 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Kedua-dua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali, manakala tertuduh diwakili peguam, Nurul Samhana Aidenan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM23,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua lima pertuduhan.

Tertuduh turut diarahkan mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap dua bulan.

Mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh telah membayar wang jaminan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.