
KUALA LUMPUR, 8 Oktober – Lee Zii Jia meneruskan kemaraan dalam Terbuka Artik selepas menewaskan wakil Taiwan, Su Li Yang, dalam aksi pusingan 16 di Finland, hari ini.
- Zii Jia menamatkan perlawanan dalam 46 minit dengan kemenangan straight set 21-17, 21-12.
- Permainan agresif dan tempo pantas memberi kelebihan; Zii Jia menekan dan mengawal rentak selepas rehat.
- Set pertama dimenangi 21-17 selepas kelebihan 11-9 ketika rehat, menunjukkan serangan lebih tersusun.
- Suku akhir menanti pilihan kedua Christo Popov; Zii Jia pegang rekod pertemuan 2-0 dan mahu terus konsisten.
Pemain perseorangan lelaki profesional negara itu hanya memerlukan 46 minit untuk melakar kemenangan straight set 21-17, 21-12, sekali gus menempah tiket ke suku akhir kejohanan.
Kemenangan itu turut meneruskan momentum positif Zii Jia selepas sebelum ini menyingkirkan wakil China, Dong Tian Yao, pada pusingan pertama.
Turun dengan permainan agresif, Zii Jia bermula garang apabila terus menekan Li Yang menerusi tempo pantas dan serangan bertenaga.
Bagaimanapun, wakil Taiwan itu enggan menyerah mudah apabila terus mengekori rapat sebelum Zii Jia memasuki rehat dengan kelebihan 11-9.
Zii Jia kemudian memperkemas permainan selepas rehat, menggunakan serangan yang lebih tersusun untuk mengawal rentak sebelum menutup set pertama 21-17.
Memasuki set kedua, pemain negara itu semakin yakin apabila menguasai pergerakan di gelanggang selain lebih bijak memanfaatkan ruang yang ditinggalkan lawan.
Li Yang cuba mengubah corak permainan bagi merapatkan jurang, namun Zii Jia kekal tenang dan konsisten untuk terus melebarkan kelebihan.
Beliau akhirnya menoktahkan aksi set kedua 21-12 untuk mengesahkan kemenangan dan kemaraan ke kelompok lapan terbaik.
Namun, cabaran lebih getir menanti Zii Jia di suku akhir apabila bakal berdepan pilihan kedua kejohanan dari Perancis, Christo Popov.
Pertemuan itu bagaimanapun memberi peluang buat Zii Jia meneruskan rekod positifnya ke atas Popov apabila pemain negara itu memegang kelebihan 2-0 dalam dua pertemuan terdahulu.
Selepas bermula dari pusingan kelayakan dan kini berjaya melangkah ke suku akhir, Zii Jia pastinya mahu meneruskan rentak tersebut dalam usaha memburu kemaraan lebih jauh di Finland.
Kemenangan ke atas Popov bukan sahaja akan membuka laluan ke separuh akhir, malah mampu menjadi suntikan penting buat Zii Jia untuk mengembalikan konsistensi dalam saingan jelajah dunia.