Terengganu kekal terbaik tujuh tahun berturut-turut dalam peperiksaan STPM

Gelagat para pelajar meraikan kecemerlangan dalam peperiksaan STPM di SMK Bukit Sawa, Marang./ BERNAMA

MARANG, 18 Jun – Terengganu kekal terbaik tujuh tahun berturut-turut bagi pencapaian peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.18 pada tahun 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • 112 calon memperoleh semua A penuh (PNGK 4.00), meningkat berbanding 110 calon tahun 2024.
  • Semua 46 sekolah mencatat kelulusan penuh 100 peratus dalam peperiksaan STPM 2025.
  • 36 sekolah mencapai PNGK 3.00 ke atas berbanding 34 sekolah pada tahun lalu.
  • SMK Bukit Sawa, Marang muncul sekolah terbaik negeri dengan PNGK 3.59.

Lebih membanggakan, ia menunjukkan peningkatan berbanding PNGK 3.12 pada tahun sebelumnya.

Menurut Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan negeri Terengganu Wan Zuraidi Che Wan Zaid, seramai 112 calon memperoleh keputusan semua A penuh dengan PNGK 4.00, meningkat berbanding 110 calon pada tahun 2024.

“Secara keseluruhan, 259 calon atau 13.79 peratus berjaya memperoleh semua A dan A Tolak dalam empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am.

“Daripada 1,962 calon yang mendaftar, seramai 1,880 calon hadir menduduki peperiksaan di 46 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

“Sebanyak 90.47 peratus calon memperoleh lima dan empat prinsipal dalam semua mata pelajaran, meningkat 1.16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Azhan Anuar mengumumkan keputusan STPM 2025 dalam sidang media di Kota Bharu./ RTM

“Selain itu, semua 46 sekolah mencatat kelulusan penuh 100 peratus, manakala 36 sekolah mencapai PNGK 3.00 ke atas berbanding 34 sekolah pada tahun lalu,” katanya pada sidang media pengumuman keputusan STPM 2025 di Dewan Ibnu Khaldun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, di Marang hari ini.

SMK Bukit Sawa, Marang muncul sekolah terbaik negeri dengan PNGK 3.59, diikuti SMK Kuala Telemong, Hulu Terengganu dengan PNGK 3.53 dan SMKA Nurul Ittifaq, Besut dengan PNGK 3.52.

Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu pula mencatat bilangan tertinggi calon memperoleh semua A penuh iaitu seramai 10 orang.

Terengganu turut menunjukkan peningkatan prestasi bagi 11 daripada 19 mata pelajaran yang ditawarkan.

Sementara itu, Kelantan mencatat PNGK 3.06, meningkat 0.06 mata berbanding tahun sebelumnya dan mengatasi PNGK Kebangsaan iaitu 2.88.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Azhan Anuar, berkata daripada 3,568 calon yang mendaftar, 3,289 calon atau 92.18 peratus hadir menduduki peperiksaan.

“160 calon iaitu 4.86 peratus memperoleh PNGK 4.00, meningkat 35 orang berbanding 2024.

“Selain itu, peratusan calon yang memperoleh lulus penuh dalam empat dan lima mata pelajaran meningkat daripada 85.3 peratus kepada 85.9 peratus, melibatkan 2,858 calon.

“Daripada jumlah calon yang hadir, 3,275 calon atau 99.57 peratus layak dianugerahkan sijil STPM 2025,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kota Bharu.

Tiga sekolah terbaik Kelantan di peringkat kebangsaan ialah SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas; SMK Pengkalan Chepa 1, Kota Bharu; dan SMK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Perak, Ahmad Faidzul Mat Yazid mengumumkan, seramai 116 calon STPM 2025 berjaya memperoleh PNGK 4.00./ RTM

Di Ipoh, Perak pula, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Perak, Ahmad Faidzul Mat Yazid mengumumkan, seramai 116 calon STPM 2025
berjaya memperoleh PNGK 4.00.

“PNGK Perak meningkat kepada 2.91 bagi STPM 2025, berbanding 2.85 yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Kadar lulus penuh STPM 2025 di Perak pula ialah 99.15 peratus, dengan 44 buah sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus,” katanya.

Secara keseluruhan, seramai 2,832 calon sekolah daripada 58 buah sekolah menduduki peperiksaan STPM 2025 di negeri ini.

“Tiada calon gagal direkodkan dalam Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Perlis bagi tempoh 5 tahun berturut turut.

“Manakala 5 buah sekolah di negeri itu turut mencatatkan keputusan lulus penuh 100 peratus dalam peperiksaan tersebut.

“371 calon direkodkan menduduki peperiksaan STPM 2025 berbanding 411 pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 0.50 peratus,” kata Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dalam sidang media di SMK Derma, di Kangar hari ini.

Berdasarkan statistik, seramai sembilan calon memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 berbanding 20 calon pada tahun sebelumnya.

“Pencapaian PNGK negeri ini bagi tahun 2025 adalah 2.82 mata dengan penurunan sebanyak 0.05 berbanding 2.87 mata pada tahun sebelumnya.

“10 daripada 17 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2025 juga telah merekodkan peningkatan peratusan pencapaian di Perlis,” tambahnya.

Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, JPN Perak, Ahmad Faidzul Mat Yazid mengumumkan keputusan STPM peringkat negeri Pahang./ RTM

Sementara itu, di Pahang, 98 orang calon peperiksaan STPM 2025 memperoleh PNGK 4.00, angka itu meningkat berbanding 82 orang pada 2024.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Pahang, Yusof Kassim berkata, pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) Negeri pula sebanyak 3.09 mata meningkat 0.07 mata berbanding tahun 2024 iaitu sebanyak 3.02 mata.

“Sebanyak 19 Pusat Tingkatan Enam di Pahang menunjukkan lonjakan GPS tertinggi antaranya termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selancar dan SMK Jengka 16 iaitu melebihi 0.70 mata.

“SMK Selancar, Rompin gred purata sekolah 2024, 2.59 meningkat kepada 3.41 peningkatan sebanyak 0.82, SMK Jengka 16, Maran gred purata sekolah 2.59 meningkat kepada meningkat sebanyak 0.75′”, katanya.

Tambahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh, Temerloh menerima Anugerah Khas Negeri STPM 2025 kerana melahirkan calon yang mendapat PNGK 4.00 paling ramai iaitu 11 orang.

Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM Aliran Sains Sosial berjaya disandang oleh Amelie Gan Yee Wen dari Kolej Tingkatan Enam Astana, Kuantan dengan memperoleh Gred A dalam lima mata pelajaran.

Manakala Anugerah Khas Kebangsaan STPM 2025 bagi Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM Kategori Orang Asli pula berjaya disandang oleh Hazaril Hakimi a/l Hassan dari SMK Temerloh, Temerloh.

Wilayah Persekutuan Labuan pula merekodkan PNGK Negeri meningkat 0.01 mata kepada 2.69, dengan kesemua 156 calon layak mendapat sijil.

“Dua calon STPM 2025 di Labuan, yang berlatar belakangkan keluarga B40 berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) penuh, 4.00. Sementara calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas turut meningkat kepada 57 berbanding 44 orang tahun sebelumnya.

“Tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi tiga peratus terdiri dariapda Usuluddin, Pengajian Perniagaan dan Ekonomi,” menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Ag. Rozlan Manan mewakili Pengarah Pendidikan Labuan Yahya Ahmad Puteh dalam satu kenyataan.

Widya Arman, pelajar cemerlang STPM dengan pencapaian PNGK 4.00./ RTM

Widya Arman, salah seorang calon mendapat PNGK 4.00 melahirkan rasa gembira.

“Antara salah satu kunci dia memang jaga hubungan lah, hubungan baik bukan sahaja dengan Tuhan, dengan sahabat, dengan alam, terutama ibu bapa juga. Saya selalu minta restu juga, guru-guru pun sama dan antara salah satunya saya memang fokus insyaAllah dalam kelas dan saya suka bertanya dengan guru-guru saya,” katanya.

Nur Atikah Sazwani Ibrahim capai keputusan cemerlang dengan PNGK 4.00./ RTM

Sementara seorang lagi pelajar yang mendapat PNGK 4.00 Nur Atikah Sazwani Ibrahim, mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan guru-gurunya.

“Pertama sekali terima kasih kepada ibu dan ayah saya sebab tanpa mereka dan doa mereka, saya tidak mungkin berada di sini dan kepada cikgu-cikgu serta kawan-kawan yang banyak membantu dari segi pembelajaran dan sokongan, saya ucapkan berbanyak terima kasih. Terima kasih juga kepada semua pihak yang memberi sokongan moral, mental dan fizikal kepada saya,” katanya.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.