
KANGAR, 18 Jun – Rekod perkhidmatan cemerlang lebih lima dekad serta sumbangan signifikan dalam sektor kerajaan, perbankan dan industri korporat negara melayakkan Datuk Izham Mahmud diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Perlis.
- Beliau aktif dalam inisiatif pembangunan dan kebajikan Perlis melalui penglibatan dalam MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra.
- Anugerah disampaikan oleh Raja Perlis sempena Majlis Maal Hijrah Negeri Perlis di Dewan 2020 Kangar.
- Turut berangkat Raja Perempuan, Raja Muda dan Raja Puan Muda menunjukkan sokongan kerabat diraja.
- Sambutan tema 'MADANI Dihayati, Ummah Diberkati' menekankan perpaduan ummah dan kefahaman Islam berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Beliau juga aktif dalam pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan khusus di negeri Perlis melalui penglibatan dalam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).
Anugerah dikurniakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dewan 2020 Kangar.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Sambutan Maal Hijrah tahun ini mengangkat tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” selaras dengan aspirasi kerajaan negeri dalam memperkukuh nilai-nilai Islam, memperkasakan perpaduan ummah dengan menolak perpecahan, menyemarakkan semangat setiakawan serta saling menyokong dalam kalangan masyarakat.
Sebanyak 29 anugerah disampaikan kepada penerima yang cemerlang dalam pelbagai kategori serta tiga anugerah utama iaitu Tokoh Maal Hijrah, Anugerah Maal Hijrah dan Jaaizah Maal Hijrah.
Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah pembangunan ummah hendaklah terus menjadi keutamaan, meliputi aspek agama, politik, ekonomi dan sosial.
Titah Baginda, kefahaman Islam yang sahih berpandukan al-Quran dan al-Sunnah perlu diperkukuh.