
PUTRAJAYA, 18 Jun – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), berjaya membantu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mengesan permohonan tuntutan palsu bawah Program Daya Kerjaya 2.0 agensi itu.
- Bahagian Anti‑Fraud PERKESO kenal pasti corak tuntutan mencurigakan dan menyerahkan maklumat kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
- Operasi penilaian dan pemeriksaan dijalankan oleh Bahagian Anti‑Fraud pada penghujung 2024.
- Tindakan awal mengesan tuntutan palsu berjaya mengelakkan kerugian kira-kira RM5.33 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Bahagian Anti-Fraud PERKESO mengenal pasti corak tuntutan mencurigakan sebelum maklumat berkaitan diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
“Operasi ini bermula dengan proses penilaian dan pemeriksaan yang dijalankan Bahagian Anti-Fraud PERKESO pada penghujung tahun 2024. Penelitian tersebut turut dibantu penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi sistem dalaman PERKESO.
“Pada Ogos 2025, beberapa maklumat yang dikenal pasti mempunyai unsur penipuan telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan susulan dan siasatan lanjut, memandangkan perkara itu berada di bawah bidang kuasa SPRM,” katanya dalam sidang media khas di sini.
Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan awal mengesan permohonan tuntutan palsu bawah Program Daya Kerjaya 2.0 PERKESO berjaya mengelakkan kerugian kira-kira RM5.33 juta.