
LANGKAWI, 19 Jun– Sebuah vesel nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis kerana disyaki melanggar syarat sah lesen ketika menangkap ikan di perairan Langkawi.
- Operasi Op Aman, Op Tiris 4.0 dan Op Khas Tanjung 2 Siri 1/2026 dijalankan kira-kira 9.4 batu nautika barat Tanjung Chinchin pada 11.40 pagi.
- Pemeriksaan menemui seorang tekong dan tiga kru warga Thailand berumur antara 32 hingga 52 tahun.
- Vesel disyaki melanggar syarat lesen (menangkap kurang 15 batu nautika), melibatkan Seksyen 8(b) Akta Perikanan dan Akta Imigresen; rampasan dianggarkan RM320,000.
Vesel tempatan itu ditahan dalam Op Aman, Op Tiris 4.0 dan Op Khas Tanjung 2 Siri 1/2026 pada kedudukan kira-kira 9.4 batu nautika barat Tanjung Chinchin pada pukul 11.40 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, pemeriksaan menemukan seorang tekong bersama tiga kru warga Thailand berusia antara 32 hingga 52 tahun di atas vesel berkenaan.
“Siasatan awal mendapati vesel itu dipercayai melanggar syarat lesen apabila menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai.
Vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen, selain turut melibatkan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM320,000.
Vesel, peralatan dan kru yang ditahan dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis untuk siasatan lanjut.