
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Satu rangkaian sindiket penyelewengan minyak masak paket bersubsidi tumpas, sebanyak 59,000 kilogram (kg) minyak masak dan cecair disyaki minyak masak disita, sementara sembilan individu ditahan.
- Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM393,040.
- Tiga serbuan diadakan; dua premis di Seremban, satu di Seri Kembangan, digunakan sebagai pusat penyimpanan dan pemprosesan haram.
- Pelbagai peralatan disita termasuk tangki IBC, pam, hos, forklift, lori, telefon bimbit dan kotak pembungkusan.
- Sindiket dipercayai melibatkan lapan jenama tempatan dan pembekal berlesen; siasatan lanjut dijalankan untuk kenal pasti penglibatan lain.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM393,040. Sementara sembilan individu yang ditahan melibatkan tiga warga tempatan dan enam warga asing.
“Tiga serbuan berasingan dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.

“Dua premis telah diserbu di Seremban, Negeri Sembilan manakala satu premis di Seri Kembangan, Selangor, dipercayai digunakan sebagai pusat penyimpanan serta pemprosesan minyak masak paket bersubsidi secara tidak sah.
“Turut disita pelbagai barang termasuk tangki IBC, pam, hos penyambung, forklift, lori, telefon bimbit, kotak pembungkusan serta peralatan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyelewengan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti penglibatan individu serta syarikat lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket berkenaan.
“Sindiket dipercayai melibatkan lapan jenama tempatan dan pembekal berlesen barang kawalan.
“Modus operandi sindiket adalah mendapatkan bekalan minyak masak paket bersubsidi daripada pembungkus atau pemborong sebelum dipindahkan ke premis haram untuk dikeluarkan daripada bungkusan asal, disimpan dalam tangki IBC dan dijual kepada pihak ketiga, termasuk pengusaha minyak masak terpakai (UCO), bagi meraih keuntungan lebih tinggi,” menurut kenyataan itu lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan.
KPDN menegaskan, penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan melibatkan barang kawalan dan bersubsidi.
Mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan yang berkuat kuasa.
Sementara, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan salah laku atau penyelewengan melibatkan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan di saluran rasmi KPDN melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, iPortal e-Aduan KPDN di eaduan.kpdn.gov.my, Call Centre KPDN di talian 1-800-886-800 atau menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.