
ISKANDAR PUTERI, 19 Jun – Seorang remaja perempuan maut selepas terbabit kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 33, Jalan Johor Bahru – Pontian, di sini semalam.
- Mangsa menunggang motosikal cuba memotong sebuah kereta tetapi gagal dan melanggar bahagian belakang kenderaan itu.
- Mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan sebuah kereta dari arah itu melanggar mangsa, kemudian merempuh dua kereta lain.
- Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dibawa ke hospital untuk bedah siasat; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah, ACP M. Kumarasan berkata, kejadian berlaku apabila mangsa, 19, yang menunggang motosikal cuba memotong sebuah kereta.
Bagaimanapun, cubaan memotong itu gagal apabila motosikal ditunggang melanggar bahagian belakang kereta berkenaan lalu tercampak ke laluan bertentangan.
“Sebuah kereta dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa sebelum kereta itu hilang kawalan dan melanggar dua kereta lain di laluan bertentangan,” katanya.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.