Malaysia perlu lebih berani dan agresif dalam hubungan antarabangsa

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia/ BERNAMA

KAZAN, 18 Jun – Malaysia perlu lebih berani dan agresif dalam hubungan antarabangsa bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam merebut peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia perlu memanfaatkan peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik tanpa berlebihan berhati-hati terhadap pertimbangan geopolitik.
  • Rantau ASEAN kekal bebas dan tidak terikat; Malaysia harus bertindak lebih proaktif dalam hubungan dua hala dan serantau.
  • Tumpuan seterusnya mesti memperkukuh perdagangan dan faedah ekonomi demi kepentingan negara serta kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan negara-negara ASEAN pada Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia membuktikan rantau ini kekal bebas dan tidak terikat dengan tekanan mana-mana blok.

Menurut beliau, beberapa negara lain dilihat lebih pantas memanfaatkan hubungan dagang, pelaburan serta kerjasama dalam bidang sains dan teknologi.

Katanya, hasil perbincangan dua hala bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin dan anggota Kabinet negara itu mendapati terdapat beberapa bidang yang memerlukan Malaysia bergerak lebih ke hadapan.

Beliau berkata, walaupun pertimbangan geopolitik perlu diambil kira, pendekatan terlalu berhati-hati hanya akan menyebabkan negara ketinggalan dan mengurangkan manfaat ekonomi kepada rakyat.

“Saya lihat beberapa bidang itu agak kita harus lebih ke hadapan lagi, lebih agresif, lebih berani walaupun ada beberapa pertimbangan geopolitik yang kita terlalu berhati-hati sebelum ini… kerana kalau kita perlahan kita ketinggalan.

“Ini yang sangat membimbangkan saya. Langkah berikutnya ialah bidang dagang dan faedah ekonomi bagi negara kita dan rakyat”, katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Rusia.

Perdana Menteri turut menegaskan langkah seterusnya perlu memberi tumpuan kepada bidang perdagangan dan manfaat ekonomi demi kepentingan negara serta rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.