Jenazah Datuk Kamil Misuari dibawa ke Masjid Negara sebelum diterbangkan ke Kuching

Jenazah Datuk Kamil Misuari dibawa ke Masjid Negara

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Jenazah suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Allahyarham Datuk Kamil Misuari, dibawa ke Masjid Negara malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang pada usia 65 tahun.
  • Jenazah dimandikan di Hospital Ampang, dibawa ke Masjid Negara; orang ramai diberi peluang menziarahi sebelum solat jenazah.
  • Selepas solat, jenazah dibawa ke KLIA untuk diterbangkan ke Kuching dan ditempatkan di kediaman rasmi sebelum dikebumikan di Samariang.

Ia bagi memberi peluang kepada ahli keluarga, sahabat handai dan kenalan memberikan penghormatan terakhir.

Antara yang hadir termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hajah Hanifah Hajar Taib, Khairy Jamaluddin dan ikon fesyen terkenal tanahair, Tom Abang Saufi.

Allahyarham Datuk Kamil, berusia 65 tahun, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang pada pukul 6.38 petang tadi.

Jenazah Allahyarham terlebih dahulu dimandikan di Hospital Ampang sebelum dibawa ke Masjid Negara pada pukul 10.00 malam dan tiba kira-kira 20 minit kemudian.

Orang ramai diberi peluang menziarahi jenazah sebelum solat jenazah yang berlangsung pada pukul 10.50 malam.

Selesai solat jenazah, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11.20 malam sebelum diterbangkan ke Kuching, Sarawak.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, jenazah Allahyarham akan ditempatkan di kediaman rasmi Datuk Seri Nancy Shukri di Kuching bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang.

Allahyarham Datuk Kamil dilahirkan di Lahad Datu, Sabah dan merupakan anak keempat daripada tujuh beradik.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada keluarga serta mereka yang mengenali beliau. Orang ramai turut menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.