
ASHGABAT, 19 Jun – Kejayaan Malaysia di luar negara perlu digerakkan menerusi pendekatan berpasukan melibatkan kerajaan serta syarikat multinasional milik tempatan seperti Petronas.
- Kita mesti bekerjasama secara berpasukan, kekal fokus dan memastikan kejayaan negara di pentas antarabangsa.
- Lawatan Presiden Turkmenistan ke Malaysia dua tahun lalu membuka ruang hubungan lebih erat, berasaskan persahabatan dan kepercayaan.
- Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkmenistan diharap menghasilkan keputusan positif, terutamanya dalam bidang penerokaan tenaga.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu turut membantu memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan Turkmenistan sejak beberapa dekad lalu.
“Pertama, kita harus bekerjasama secara berpasukan. Kedua, perlu kekal fokus dan memastikan kita berjaya sebagai sebuah negara.
“Walaupun perkembangan hubungan dua hala berlaku secara perlahan, kami telah melihat potensinya dan Turkmenistan kini turut mengiktiraf kepentingan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama lebih 300 diaspora dan sahabat Malaysia.
Tambahnya, lawatan Presiden Turkmenistan ke Malaysia dua tahun lalu turut membuka ruang kepada hubungan yang lebih erat berasaskan persahabatan, kepercayaan dan saling menghormati.
Perdana Menteri menyifatkan lawatan rasminya ke Turkmenistan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan negara tersebut kepada Malaysia.
Beberapa hasil positif dijangka dapat dicapai pada lawatan julung kali ini, terutama berkaitan aktiviti penerokaan tenaga selepas pertemuan bersama Presiden Turkmenistan, hari ini.