500 sekolah di Perancis ditutup susulan bantahan pelajar

Pelajar sekolah yang membuat bantahan tentang sistem pendidikan negara Perancis / Foto AFP

PARIS, 5 Oktober – Kira-kira 500 sekolah menengah di seluruh Perancis ditutup pada Isnin berikutan gelombang bantahan pelajar yang semakin meluas di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Pendidikan Edouard Geffray berkata kira-kira 400 hingga 500 sekolah menghentikan sesi pembelajaran kerana keadaan keselamatan tidak mengizinkan.
  • Sebanyak 24 sekolah dilaporkan dibakar atau diceroboh sejak gerakan bantahan bermula.
  • Penutupan dibuat terutamanya untuk menjaga keselamatan menjelang perhimpunan besar yang dirancang pemimpin gerakan.
  • Pelajar menuntut tindakan terhadap ketidakhadiran guru tinggi, waktu persekolahan panjang dan keadaan kemudahan sekolah daif.

Menteri Pendidikan Perancis, Edouard Geffray berkata, kira-kira 400 hingga 500 sekolah akan menghentikan sesi pembelajaran sepenuhnya atau sebahagian kerana keadaan keselamatan tidak mengizinkan.

Beliau berkata, 24 sekolah telah dibakar atau diceroboh sejak gerakan bantahan itu bermula.

Menurut Geffray, penutupan berkenaan terutama bertujuan menjaga keselamatan menjelang perhimpunan besar-besaran yang dirancang pemimpin gerakan berkenaan pada Selasa.

Gerakan pelajar-pelajar sekolah menengah mendakwa bantahan tersebut menuntut hak berkenaan proses pembelajaran mereka terjejas akibat kadar ketidakhadiran guru yang tinggi, waktu persekolahan yang terlalu panjang serta keadaan kemudahan sekolah yang daif, selain beberapa tuntutan lain.

Geffray berkata, jumlah sekolah yang terjejas pada Isnin dijangka sama seperti pada Jumaat, namun beliau memberi jaminan sesi pembelajaran akan disambung secara berperingkat.

Di wilayah Ile-de-France yang merangkumi kawasan sekitar ibu negara, lebih satu pertiga daripada 468 sekolah ditutup pada Isnin susulan bantahan berkenaan.

Presiden wilayah itu, Valerie Pecresse memaklumkan demikian kepada stesen penyiaran Franceinfo.

Gerakan bantahan tersebut bermula di sebuah sekolah di Paris pada 17 September sebelum merebak menjadi bantahan di seluruh negara minggu lalu.

Beberapa bantahan bertukar ganas apabila pelajar terbabit bertembung dengan pasukan keselamatan, yang menggunakan gas pemedih mata dan cota untuk mengawal keadaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.