Laporan LKAN: Kemajuan Projek LCS lewat 7.55 peratus

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Kemajuan Projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) lewat 7.55 peratus dengan kelewatan antara 30 hingga 108 hari setakat 25 Jun lepas, menurut Jabatan Audit Negara (JAN).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelewatan PHO LCS 1 berisiko menyebabkan kapal diserahkan tanpa keupayaan penuh kerana latihan dan sistem persenjataan belum disempurnakan.
  • Kesiapsiagaan penuh bergantung kepada Kontrak Pelengkap dijangka disempurnakan pada Disember 2035 melebihi tempoh Kontrak Utama, menjejaskan LCS 2 hingga LCS 5.
  • JAN mengauditi projek secara interim untuk menilai kemajuan fizikal dan kewangan, pengurusan kontrak serta pematuhan terma dan peraturan.
  • JAN mengesyorkan pelan tindakan pemulihan realistik, syarat penerimaan bersyarat jelas, dan pemantauan diperkukuh dengan pegawai bertanggungjawab.

Jabatan Audit Negara (JAN) menerusi kenyataan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 hari ini kelewatan itu berisiko menjejaskan penyerahan fizikal (PHO) LCS 1 yang pada asalnya dijadualkan pada 26 Ogos lepas dan kini mempunyai sasaran baharu pada 26 Disember depan.

“Sekiranya PHO dilaksanakan pada kedua-dua tarikh tersebut, LCS 1 akan diserahkan tanpa mencapai keupayaan penuh kerana latihan serta sistem persenjataan masih belum disempurnakan.

“Kesiapsiagaan penuh Projek LCS adalah bergantung kepada Kontrak Pelengkap yang hanya dapat disempurnakan pada Disember 2035, iaitu melangkaui tempoh akhir Kontrak Utama pada 25 April 2030. Kelewatan PHO LCS 1 memberikan kesan kepada tempoh PHO LCS 2 hingga LCS 5,” menurut kenyataan itu.

JAN memaklumkan, pengauditan dilaksanakan secara interim bertujuan untuk menilai pengurusan Projek LCS dari aspek kemajuan fizikal dan kewangan, pengurusan kontrak serta pembayaran berdasarkan terma kontrak dan peraturan yang berkuat kuasa.

Pengauditan juga mengambil kira syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melalui Laporan PAC Parlimen bertarikh 9 Okt 2023 supaya JAN melaksanakan pengauditan terhadap Projek LCS sebelum penyerahan LCS 1 kepada TLDM serta membentangkan hasil pengauditan tersebut di Parlimen.

Bagi memastikan Projek LCS dapat disiapkan dan diserahkan pada tahap kesiapsiagaan yang ditetapkan, JAN mengesyorkan Kementerian Pertahanan menetapkan pelan tindakan pemulihan yang realistik bagi memastikan semua aktiviti kritikal Kontrak Utama dan Kontrak Pelengkap diselaraskan dengan jadual PHO LCS.

Kementerian itu juga disyorkan memastikan sebarang penerimaan kapal secara bersyarat menetapkan obligasi, tempoh penyempurnaan dan tanggungjawab kontraktor yang jelas sehingga kapal mencapai keupayaan ditetapkan.

Selain itu, Kementerian Pertahanan disyorkan memperkukuh pemantauan kemajuan projek, termasuk menetapkan pegawai bertanggungjawab serta tempoh penyelesaian bagi setiap isu kritikal sehingga projek berjaya disempurnakan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.