
PENDANG, 5 Oktober – Isu bahan api didakwa bercampur air yang diperkatakan pengguna di kawasan utara termasuk di Kedah mendorong pengurusan stesen minyak memperketat pemantauan keadaan tangki bahan api.
- Pengurusan stesen memperketat pemeriksaan tangki sebagai SOP untuk memastikan kualiti dan keselamatan pengguna.
- Pemeriksaan dijalankan setiap pertukaran syif melalui proses dipping dan ujian air bagi mengesan pencemaran.
- Beberapa stesen dilengkapi sistem ATG bagi pemantauan automatik dan pengesanan awal kehadiran air.
- KPDN Kedah menyiasat aduan; pengguna dinasihatkan hubungi pengurusan stesen atau pihak berkuasa jika berdepan masalah selepas isi minyak.
Pemilik stesen minyak, Norzulshafis Mohd Noh dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan tangki adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di setiap stesen kendaliannya bagi memastikan kualiti serta keselamatan pengguna sentiasa terjamin.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Kiaramas Group berkata, pemeriksaan dilakukan pada setiap pertukaran syif menerusi proses dipping dan ujian air (water test) bagi memastikan bahan api dalam tangki berada dalam keadaan baik serta bebas daripada pencemaran air.
“Beberapa stesen kami turut dilengkapi sistem ATG (Automatic Tank Gauge) yang membolehkan keadaan tangki dipantau secara automatik, sekali gus membantu mengesan kehadiran air lebih awal untuk tindakan segera.
“Bagi kami, bukan sekadar menjual minyak, malah kualiti produk dan keselamatan kenderaan pelanggan adalah amanah,” menurut kenyataan itu hari ini.
Norzulshafis turut memberi jaminan akan terus mematuhi SOP ditetapkan serta memastikan aspek kualiti bahan api diberi keutamaan bagi meningkatkan keyakinan pengguna.
Antara stesen minyak bawah pengurusan Kiaramas Group ialah PETRONAS Pendang, PETRONAS Lebuhraya Darulaman, Shell Jalan Pendang dan Caltex Guar Chempedak.
Pengguna dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada pengurusan stesen atau pihak berkuasa berkaitan sekiranya mengalami sebarang masalah selepas mengisi bahan api.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah sedang menyiasat isu tersebut.
Pada Ahad, tular di media sosial berkaitan beberapa pemilik kenderaan yang mendakwa kenderaan mereka mengalami kerosakan selepas mengisi minyak di beberapa stesen minyak di negeri itu.
Pengguna yang terjejas mendakwa ia berpunca daripada minyak yang bercampur air.