
PUTRAJAYA, 5 Oktober – Aplikasi MyJPJ akan diperkasa dengan lebih banyak ciri baharu mulai bulan depan bagi membolehkan orang ramai mengakses lebih banyak perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara terus tanpa melalui pihak ketiga.
- Peningkatan MyJPJ sebahagian usaha kementerian untuk mentransformasikan penyampaian perkhidmatan JPJ ke arah pendigitalan.
- Perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad digantung sebagai ejen pemungut hasil JPJ.
- Ejen pemungut hasil masih dibenarkan; kira-kira 20% pengguna masih menggunakan khidmat ejen.
- Penambahbaikan mengambil kira aspek keselamatan dan peralihan berperingkat bagi memberi ruang penyesuaian pengguna.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penambahbaikan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian mentransformasikan penyampaian perkhidmatan JPJ ke arah pendigitalan.
“Transaksi MyJPJ semakin meningkat dengan begitu pesat. Sebab itu kita terus mengemas kini dan menambah baik aplikasi MyJPJ.
“Mulai bulan depan, lebih banyak ciri baharu akan diperkenalkan dalam MyJPJ. Jadi, akhirnya kita berharap kebanyakan orang ramai dapat menggunakan MyJPJ secara terus dengan JPJ tanpa perlu melalui mana-mana pihak ketiga.
Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menjelaskan mengenai penggantungan perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan menyasarkan lebih banyak urusan JPJ dapat dilakukan secara terus menerusi MyJPJ, namun perkhidmatan ejen pemungut hasil masih dibenarkan bagi memberi pilihan kepada pengguna.
“Ejen masih diperlukan dan kita masih membenarkan ejen pemungut hasil,” katanya.
Ketika ini, kira-kira 20 peratus pengguna masih menggunakan khidmat ejen pemungut hasil seperti MYEG dan Pos Malaysia, khususnya bagi urusan pembayaran lesen serta perkhidmatan berkaitan JPJ.
Anthony berkata penambahan ciri baharu dalam MyJPJ turut mengambil kira aspek keselamatan bagi memastikan aplikasi itu mampu menyediakan perkhidmatan yang lebih lengkap dan cekap kepada pengguna.
Dalam pada itu, beliau berkata peralihan kepada penggunaan MyJPJ akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi ruang kepada semua pengguna menyesuaikan diri dengan saluran perkhidmatan digital berkenaan.
Ketika ini, MyJPJ menyediakan pelbagai perkhidmatan digital termasuk semakan maklumat lesen dan kenderaan, semakan saman serta paparan Lesen Memandu Malaysia dan Lesen Kenderaan Motor secara digital.