
PENAGA, 26 April – Kerajaan akan menyalurkan suntikan dana sekurang-kurangnya RM15 bilion ke dalam pasaran bagi melindungi sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) daripada kesan konflik geopolitik di Asia Barat.
- Kementerian adakan libat urus dengan 16 pengurusan tertinggi bank untuk mempermudah akses pembiayaan dan tawaran penjadualan semula hutang.
- Kerajaan utamakan kepelbagaian pasaran ke Asia Tenggara dan Afrika untuk kurangkan kebergantungan kepada kawasan berkonflik.
- Perasmian Jualan Koperasi Madani menawarkan barangan asas sehingga 40 peratus lebih murah bagi meringankan kos sara hidup rakyat.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata langkah itu penting bagi memastikan usahawan tempatan kekal berdaya saing meskipun berdepan gangguan rantaian bekalan global.
Menurut beliau, kementerian turut mengadakan sesi libat urus bersama 16 pengurusan tertinggi bank bagi mempermudah akses pembiayaan, termasuk menawarkan skim penjadualan semula hutang kepada syarikat yang berdepan masalah aliran tunai.
“Kita sedang giat menjalankan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh termasuk persatuan yang mewakili PMKS, penjaja serta pemain industri bagi memahami kesan sebenar dan merangka penyelesaian terbaik.
“Kita perlu kenal pasti dahulu di mana tekanan dihadapi sebelum menyediakan intervensi yang sesuai. Antara strategi yang dirangka termasuk inisiatif ‘Power Up 10K’ di mana KUSKOP akan menyalurkan sekurang-kurangnya RM15 bilion ke dalam pasaran tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jualan MADANI Koperasi & Usahawan 2026 DUN Bertam, pagi tadi.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan strategi kepelbagaian pasaran ke rantau kurang berisiko seperti Asia Tenggara dan Afrika kini menjadi keutamaan kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kawasan berkonflik.
Terdahulu, beliau turut merasmikan Jualan Koperasi Madani di Bertam, Kepala Batas yang menawarkan barangan asas pada harga sehingga 40 peratus lebih murah sebagai usaha meringankan kos sara hidup rakyat.