
ALOR GAJAH, 28 April – Lima maut dalam dua kemalangan berasingan di sini selang kira-kira sejam pada Ahad.
- Kemalangan pertama di Jalan Felda Hutan Percha libatkan sebuah lori dan kereta; kereta hilang kawalan lalu bertembung.
- Seorang penumpang belakang 24 tahun maut di tempat; pemandu 23 tahun dan seorang penumpang 24 tahun maut di Hospital Melaka.
- Kejadian kedua di Jalan Lendu: dua penunggang motosikal, termasuk anggota tentera, maut selepas melanggar kereta yang membelok secara mengejut.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; orang ramai diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar dalam kenyataan memaklumkan, kemalangan pertama berlaku di Jalan Felda Hutan Percha membabitkan sebuah lori dan kereta.
“Kejadian pada pukul 3.40 petang itu berlaku apabila kereta dari arah Melaka ke Segamat hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori.
“Seorang penumpang belakang berusia 24 tahun yang juga pelajar sebuah kolej maut di tempat kejadian,” menurut kenyataan itu.
Manakala pemandu berusia 23 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 24 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.
Seorang lagi penumpang berusia 23 tahun masih dirawat, manakala pemandu lori dan kelindan mengalami kecederaan.
Dalam kejadian kedua kira-kira sejam kemudian di Jalan Lendu, dua lelaki yang menaiki motosikal maut selepas terlanggar sebuah kereta.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan menuju ke Masjid Tanah sebelum kereta terbabit membelok ke kanan secara mengejut, menyebabkan motosikal yang ditunggang anggota tentera itu gagal mengelak lalu melanggar sisi kanan kereta.
“Akibat hentaman, anggota tentera berkenaan dan pemboncengnya tercampak ke laluan bertentangan dan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah,” tambah kenyataan itu.
Pemandu dan penumpang kereta, masing-masing berusia 64 dan 62 tahun, turut mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Alor Gajah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kejadian diminta tampil membantu siasatan.