Jelajah AI Mymahir terima sambutan positif golongan pelajar, usahawan

Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 April – Program Jelajah AI MyMahir (JAM) anjuran TalentCorp di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang dilaksanakan sejak Januari lalu mendapat sambutan menggalakkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan tertinggi daripada pelajar (48.7%), orang awam 20.3%, usahawan 13.1%.
  • Program akan diteruskan dan diperluas ke lebih banyak kawasan dengan siri jelajah bermula Mei hingga Julai.
  • Jelajah AI MyMahir bertujuan tingkatkan kefahaman penggunaan AI dalam pekerjaan, perniagaan, pendidikan dan produktiviti harian.
  • Pendekatan turun padang penting untuk jadikan AI kefahaman umum, memupuk peluang ekonomi dan sedia hadapi perubahan pekerjaan.

Program setakat ini telah dilaksanakan di Parlimen Sungai Petani, Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi dan Kluang.

Penyertaan tertinggi direkodkan dalam kalangan pelajar iaitu sebanyak 48.7 peratus, manakala orang awam 20.3 peratus, dan golongan usahawan 13.1 peratus.

Menurut Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Mohd Khuzzan Abu Bakar, hasil kejayaan itu, program akan diteruskan dengan diperluas ke lebih banyak kawasan.

“Insya-Allah kita akan adakan program seterusnya pada bulan Mei, iaitu 9 Mei di Parlimen Parit Sulong, 16 Mei di Parlimen Sekijang, 23 Mei di Paya Besar, 6 Jun di Hang Tuah Jaya, 11 Julai di Port Dickson dan insya-Allah kita tidak akan tinggalkan kawasan bandar,” menurutnya selepas menghadiri program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Jelajah AI MyMahir merupakan program literasi AI peringkat nasional, yang bertujuan meningkatkan kefahaman rakyat terhadap penggunaan AI dalam pekerjaan, perniagaan, pendidikan dan produktiviti harian.

“Pendekatan turun padang menerusi siri jelajah itu penting bagi membawa kefahaman AI secara teus kepada masyarakat di seluruh negara,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, teknologi AI bukan lagi sesuatu yang hanya tertumpu kepada syarikat besar atau golongan profesional, sebaliknya kini menjadi keperluan harian yang wajar difahami semua lapisan masyarakat.

“Jika kita mulakan literasi AI sekarang, rakyat akan lebih bersedia menghadapi perubahan pekerjaan pada masa depan. Ini juga membantu meningkatkan daya saing negara dan membuka lebih banyak peluang ekonomi baharu,” katanya lagi.

Tambah beliau, program berkenaan turut membantu rakyat melihat AI sebagai pemudah cara yang mampu meningkatkan kecekapan dalam pelbagai sektor.

“Kita mahu rakyat melihat AI sebagai peluang, bukan ancaman. Sebab itu, Jelajah AI MyMahir ini dibawa terus kelapangan supaya masyarakat lebih faham bagaimana teknologi ini boleh membantu pekerjaan, perniagaan dan kehidupan seharian,” katanya.