DPN 2.0 perkukuh perlindungan pengguna dalam persekitaran kompleks

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

CYBERJAYA, 28 April – Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0) amat signifikan bagi memastikan pengguna terus dilindungi khususnya dalam persekitaran kepenggunaan yang semakin kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ambil kira risiko digital: teknologi membentuk tingkah laku, algoritma mempengaruhi pembelian, eksploitasi data.
  • KPDN diberi peranan lebih besar; DPN 2.0 mesti jadi panduan utama untuk ekosistem kepenggunaan telus, bertanggungjawab dan diyakini rakyat.
  • Pengguna bukan sekadar pembeli; mereka rakan strategik ekonomi yang berhak, bermaruah dan mempengaruhi arah serta keseimbangan pasaran.
  • DPN 2.0 adalah pembaharuan meliputi penambahbaikan dasar dan anjakan pemikiran terhadap peranan pengguna, pasaran dan tanggungjawab bersama.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pendekatan terhadap isu kepenggunaan kini tidak boleh dilihat dari sudut tradisional semata-mata.

Sebaliknya, perlu mengambil kira risiko digital termasuk bagaimana teknologi membentuk tingkah laku pengguna, algoritma mempengaruhi keputusan pembelian dan eksploitasi data.

“Dalam konteks ini, peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjadi semakin besar. Saya harap DPN 2.0 wajib menjadi panduan utama dalam membentuk sebuah ekosistem kepenggunaan yang lebih telus, lebih bertanggungjawab dan lebih diyakini rakyat.

“Dalam kerangka baharu ini, kita tidak lagi melihat pengguna sekadar sebagai pembeli. Sebaliknya, mereka adalah rakan strategik ekonomi yang bukan sahaja mempunyai hak dan maruah, tetapi turut memainkan peranan dalam menentukan arah dan keseimbangan pasaran negara”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna 2.0 di Cyberjaya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berpandangan DPN 2.0 merupakan satu pembaharuan yang tidak hanya meliputi penambahbaikan dasar, tetapi melibatkan anjakan pemikiran dalam melihat peranan pengguna, pasaran dan tanggungjawab bersama dalam ekosistem ekonomi era baharu.

Dasar Pengguna Negara telah diperkenalkan pada tahun 2002 sebagai asas penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna serta membentuk pasaran yang lebih adil.

Dasar ini telah menjadi landasan utama dalam membina ekosistem kepenggunaan negara selama lebih dua dekad, sebelum dilancarkan DPN 2.0 pada hari ini.